Hari ini, minggu depan atau bulan depan? Ataupun perlu menanti sehingga bulan September ini! Bilakah isu melompat parti membabitkan wakil-wakil rakyat Parlimen khususnya dari Sabah bakal berakhir.
Ekoran gelombang 'protes' selepas pilihan raya umum 2008 pada Mac lalu, kepimpinan Barisan Nasional (BN) pusat telah berkompromi dengan memberi kedudukan tertinggi di Dewan Rakyat kepada Sabah dan Sarawak. Tan Sri Pandikar Amin Mulia, pemimpin politik veteran Sabah dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat. Ahli Parlimen Santubong, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan rakan sejawatannya dari bahagian Beluran, Datuk Ronald Kiandee pula dipilih sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat.
BN Pusat terpaksa membuat pengorbanan bagi membolehkan perwakilan dari Sabah dan Sarawak diberikan lebih banyak jawatan di peringkat persekutuan dan memenuhi tuntutan-tuntutan kedua-dua negeri berkenaan.
Sabah dan Sarawak, yang menyumbangkan 54 kerusi Parlimen daripada 140 dimiliki BN, juga telah meminta lebih banyak jawatan dalam Kabinet Persekutuan.
Selepas 14 tahun, Sabah terus dikaitkan dengan budaya mudah melompat parti apabila persekitaran politik seperti masa sekarang wujud. Pada tahun 1994, Parti Bersatu Sabah (PBS) pimpinan Datuk Seri Dr. Pairin Kitingan yang kini antara parti komponen BN, berakhir dengan tindakan melompat membabitkan sebahagian besar wakil rakyat Dewan Undangan Negeri dalam tempoh beberapa minggu.
Semalam, Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee menafikan yang anggotanya akan melompat Pakatan Rakyat seperti yang digembar-gemburkan.
Peristiwa itu dikatakan berlaku hari ini. Tetapi sehingga petang ini tiada khabar susulan mengenainya.
Bagaimanapun Teck Lee memberitahu, anggota Parlimen SAPP bukan antara 16 Ahli Parlimen dari Sabah yang disebut-sebut akan melompat parti, tetapi tidak menolak kemungkinan ia akan berlaku dalam masa terdekat jika isu yang melibatkan rakyat Sabah tidak diselesaikan.
Beliau juga mahu isu-isu yang dibangkitkan dalam pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam diselesaikan menjelang September ini. September ini? Mengapa tarikh ini?
Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketua barisan pembangkang pernah menyebut Pakatan Rakyat mampu menubuhkan kerajaan di peringkat persekutuan menjelang 16 September ini.
Sejauhmanakah sinonimnya kenyataan Anwar dan Teck Lee.
Teck Lee juga kelihatan yakin menggariskan susur masa tersebut. Ataupun ia cuma satu gimik politik semata-mata?
"Buat masa ini tiada Ahli Parlimen kami yang akan melompat parti. Itu bukan isunya. Apa yang perlu ditekankan ialah bila isu yang melibatkan Sabah akan diselesaikan.
"Kini mereka perlu bertindak cepat untuk membuktikan yang mereka mengambil serius mengenai perkara ini," kata beliau yang dipetik oleh Bernama.
Kelmarin, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh, Ahli Parlimen Kalabakan, yang pada Mac lalu telah meletakkan jawatan sebagai Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar membidas kerajaan Persekutuan di Dewan Rakyat sambil mengatakan bahawa keluhan rakyat Sabah tidak harus dipandang ringan bagi mengelakkan implikasi ektika pilihan raya umum ke-13.
Justeru, beliau juga menggesa agar Perdana Menteri membuat rombakan Kabinet untuk memberi portfolio lebih penting kepada Sabah.
"Kita mahu keadilan, bukan (mahu) Parti Keadilan (Rakyat). Jangan cakap orang Sabah mengarut, kita mesti ambil serius (masalah mereka)," katanya di Dewan Rakyat," kata Abdul Ghapur.
Wakil-wakil rakyat dari Sabah sudah mula menggunakan dengan berani platform berhujah di Parlimen untuk meluahkan isu-isu yang bersangkut-paut dengan politik dalaman BN.
Pada Rabu lalu, Datuk Anifah Aman juga telah menekankan, ura-ura wakil Sabah melompat parti sebenarnya mencerminkan sentimen rakyat Sabah.
Ketika banyak pihak menyifatkan melompat parti iaitu dari BN ke Pakatan Rakyat sebagai tindakan menderhaka ataupun tidak menghargai mandat rakyat, Abdul Ghapur menafikan beliau akan berbuat demikian. Tetapi beliau tidak menolak kemungkinan akan menubuhkan parti baru jika keadaan mengizinkan.
Jika parti baru ditubuhkan bermakna tindakan melompat tidak akan disamakan dengan perbuatan mengkhianati mandat pemilih.
Sebaliknya ia mirip tindakan menubuhkan parti baru bagi menggantikan parti lama atas telah nama gagal menghargai kehendak rakyat dan pemilih.
Jika ini berlaku dan berulang di Sabah, apakah parti baru akan muncul di Sabah. Sabah memang terkenal dengan kemunculan parti-parti baru.
Bersekutu, Berjaya, USNO, PBS, SAPP, Pasok, LDP, Setia dan UPKO. Daripada 27 parti semasa di negara ini, tujuh berada di Sabah.
Sabah Baru cuba diusahakan dengan membawa masuk UMNO ke negeri itu dua dekad lalu. PBS kehilangan kuasa apabila sebahagian besar wakil rakyatnya melompat ke dalam UMNO dan BN.
BN telah membawa projek pembangunan termasuk menubuhkan Universiti Malaysia Sabah. Sistem giliran Ketua Menteri Sabah diperkenalkan, tetapi dihapuskan beberapa tahun lalu.
Pada tahun 1990, USNO berganding dengan Berjaya untuk membawa UMNO ke dalam Sabah.
Apakah kemungkinan USNO, yang merupakan antara beberapa parti yang sudah mati akan dihidupkan semula untuk mencari penyelesaian kepada isu semasa - peluang melompat parti.
Apakah wakil-wakil rakyat yang kecewa dengan senario politik semasa akan menubuhkan parti baru mewakili pelbagai kaum.
Apakah pilihan terbaru wakil rakyat-wakil rakyat Sabah, yang dipercayai 17 orang akan menyertai Pakatan Rakyat.
Sumber : Sabah Kita
Friday, May 16, 2008
USNO diwujudkan, strategi baru lompat parti?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Write commentsNote: Only a member of this blog may post a comment.