Tuesday, May 13, 2008

Akta Anti Perdagangan Belum Berjaya Jika Rasuah

Sumber Artikel : TranungKite

" Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) telah meneliti berita berkaitan dengan pendakwaan pertama mengikut Akta Anti Perdagangan Orang 2007 yang telah dikenakan terhadap Ee Chin Kai kerana telah melacurkan dua wanita asing. Beliau menghadapi dua pertuduhan berasingan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru kerana telah memperdaya dua wanita Thailand berusia berusia 27 tahun, dengan mengeksploitasi mereka untuk kerja-kerja pelacuran di sebuah rumah di Taman Pelangi pada 3.10 petang, 25 Mac lalu.

Pendakwaan ini sudah tentu akan menjadi satu permulaan yang baik untuk menangani masalah pelacuran dan GRO yang melibatkan warga asing yang datang ke Malaysia. Kes warga asing yang diperdaya dengan pelbagai janji pekerjaan dengan gaji lumayan telah berlaku dengan agak berleluasa sehingga banyak kes tangkapan dibuat melibatkan warga asing yang mengaku diperdaya kerana pernah dijanjikan pekerjaan yang berbeza dengan apa yang mereka lalui sebagai pelacur dan GRO.

Sebelum ini, tangkapan yang dibuat terhadap pelacur dan GRO lebih banyak melibatkan tindakan dan hukuman terhadap pelacur dan GRO tersebut di bawah beberapa akta imigresen seperti berikut :

  • Seksyen 39 (B) Peraturan Imigresen 1959 iaitu kesalahan menyalahgunakan pas lawatan sosial ke negara ini untuk bekerja.
  • Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/1963 iaitu tiada dokumen perjalanan yang sah.
  • Seksyen 8 (3) Akta Imigresen 1959/1963 iaitu melakukan kegiatan tidak bermoral.
Namun, walaupun tangkapan terus dibuat tetapi aktiviti pelacuran yang melibatkan warga asing ini terus berleluasa kerana hukuman terhadap individu atau kumpulan yang terlibat dengan kegiatan ini tidak dikenakan tindakan yang tegas mengikut undang-undang yang sedia ada. Kes tangkapan terhadap wagra asing yang terlibat dalam kes pelacuran dan GRO semakin menjadi-jadi.

Sebagai contohnya, kes tangkapan 58 wanita warga asing daripada negara Thailand, enam Filipina dan tiga Indonesia yang berusia antara 19 hingga 33 tahun di Johor Bahru pada 23 Mac 2008 yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pelacuran dalam serbuan di dua premis hiburan. Begitu juga dengan penangkapan tiga wanita Indonesia yang dipercayai dibekalkan oleh sindiket kepada pekerja kilang rakyat asing di di sebuah rumah yang dijadikan sarang pelacuran di Pekan Nenas, Pontian pada 17 Mac 2008. Pelacur-pelacur ini disyaki disediakan untuk dilanggan oleh pekerja-pekerja asing yang tinggal di persekitaran kawasan tersebut.

Di Seremban pula pada 30 April 2008 yang lalu seramai 24 wanita warga China yang dipercayai bekerja sebagai pegawai perhubungan pelanggan (GRO) ditahan dalam satu serbuan di sebuah pusat karaoke di Taman AST. Manakala di Kuantan, lima wanita warga China dalam lingkungan umur 23 hingga 38 tahun yang dipercayai bekerja sebagai pegawai perhubungan pelanggan (GRO) ditahan dalam satu serbuan ke atas sebuah pusat karaoke di Raub Perdana, Raub pada 10 April 2008

Walaupun pendakwaan pertama baru sahaja berjaya dilakukan hari ini namun ia merupakan langkah awal untuk membendung masalah pelacuran sama ada secara rela ataupun paksa yang melibatkan warga asing di Malaysia.

Aktiviti ‘menjual orang’ untuk kepentingan diri perlu dihentikan malah bukan sahaja kepada warga asing tetapi juga melibatkan aktiviti memperdagangkan rakyat Malaysia sendiri. Penguatkuasaan terhadap kegiatan pelacuran, GRO dan seumpamanya perlu dipertingkatkan agar Akta Anti Perdagangan Orang 2007 bukan sahaja gah berdasarkan kandungannya tetapi ia dapat diterjemahkan dalam bentuk tindakan sehingga kegiatan memperdagangkan manusia ini dapat dihentikan.

Namun, halangan utama dalam membendung masalah ini adalah gejala rasuah dan salah guna kuasa. Sekiranya rasuah dan salah guna kuasa tidak dibendong dan dibenteras maka masalah pelacuran dan perdagangan manusia akan tetap akan berleluasa.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830
http://minda-kembara.blogspot.com/ "

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.