Wednesday, March 24, 2010

Hina Mahkamah, Pengarah JPKA Boleh Dipenjara?

MENGIKUT Undang-Undang, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Am Sabah, Etong @ Ithong Terang boleh ditangkap dan dipenjarakan kerana dianggap menghina mahkamah apabila meluluskan ‘Anak Pelihara’ tanpa melalui proses mahkamah, selaras dengan Fasal 30 (4) Akta Kanak-Kanak 2001; sekalipun endorsemen dilakukan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Peguam Kanan Sabah, Haji Ansari Abdullah (Ansari & Co) menyatakan demikian ketika diminta mengulas berleluasanya kes buang bayi, penderaan dan proses anak pelihara yang diamalkan JPKAS selama ini yang membelakangkan Akta Kanak-Kanak 2001 yang diterima pakai di seluruh Malaysia.

“Pengarah JPKAS tidak mempunyai kuasa atau locus standi untuk menentusah atau meluluskan anak pelihara daripada Rumah Kanak-Kanak atau Pusat Jagaan Sementara tanpa melalui prosiding di Mahkamah Kanak-Kanak,” ujar Ansari yang menyifatkan amalan JPKAS meluluskan anak pelihara kepada orang tertentu adalah menyalahi undang-undang dan menghina mahkamah.

Tegas Ansari, mengikut Seksyen 30 (1) (e) akta berkenaan, kanak-kanak terbuang atau tidak mempunyai ibu bapa diperintahkan Mahkamah Kanak-Kanak agar ditempatkan di Rumah Kanak-Kanak atau tempat yang selamat yang diwartakan sehingga mencapai umur dua tahun sebelum boleh diserahkan kepada ibu bapa pelihara; mesti melalui prosiding Mahkamah Kanak-Kanak sekali lagi.

Dalam hal ini kata Ansari, Pengarah JPKAS tidak mempunyai kuasa atau locus standi untuk memberikan kanak-kanak tersebut kepada ibu bapa pelihara kerana mengikut tafsiran Akta Kanak-Kanak 2001, Ketua Pengarah ialah Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Walaupun keputusan mesyuarat kelulusan pemeliharaan anak ditandatangani oleh Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat yang pada dasarnya tidak hadir dalam mesyuarat berkenaan, namun kes anak pelihara harus dikemukakan kepada Mahkamah Kanak-Kanak kerana Ketua Pengarah hanya berusaha mencari penjaga atau ibu bapa pelihara yang sesuai sebelum diputuskan di Mahkamah Kanak-Kanak.

“Tidak ada sebarang penurunan kuasa boleh dibuat kepada Pengarah JPKAS oleh Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat kerana menyalahi undang-undang, ‘delagatus non potest delegare’; yang bermaksud perwakilan kuasa daripada Menteri kepada Ketua Pengarah JKM tidak boleh disub-delegate kepada Pengarah JPKAS,” tegas Ansari yang menyifatkan semua amalan yang dilakukan oleh JPKAS selama ini adalah amalan songsang dan merupakan satu kesalahan jenayah.

Jika Ketua Pengarah JKM dan Pengarah JPKAS berpendapat bahawa amalan mereka selama ini adalah sah, maka Mahkamah Kanak-Kanak haruslah dibubarkan kerana hanya membazirkan wang rakyat dan tidak dapat menjalankan fungsi sebenar perlindungan kanak-kanak.

Ansari yang juga Ahli Majlis Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjelaskan bahawa beliau menerima terlalu banyak rungutan bahawa anak pelihara yang diserahkan kepada ibu bapa pelihara tidak mengikut kelayakan dan dibuat sesuka hati sedangkan tempoh masa untuk keluarga menuntut belum dilampaui.

“Akta Kanak-Kanak 2001 sewajarnya dipinda segera kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan terutama membelakangkan Akta Imigresen apabila anak tidak sah taraf atau bukan warganegara diserahkan kepada ibubapa pelihara yang berstatus warganegara sehingga menjadikan kanak-kanak berkenaan mengalami masalah status kewarganegaraan dan akan tersisih daripada segala kemudahan kerana kewarganegaraannya belum ditentukan,” kata Ansari yang merujuk kepada beberapa anak pelihara yang mengalami masalah dokumen pengenalan diri kerana JPKAS mengabaikan tanggung jawab mereka menyediakan surat lahir dan kad pengenalan bagi kanak-kanak yang sudah mencapai umur 12 tahun.

Memandangkan Malaysia menerima pakai konsep Jus Soli untuk menentukan kerakyatan, maka jika ibu atau bapa kandung gagal ditemui, maka kanak-kanak berkenaan adalah tidak sah taraf kerana kewarganegaraannya belum ditentukan.

“Memberi hak jagaan kepada ibu bapa pelihara tanpa melalui prosiding Mahkamah adalah satu kesalahan jenayah yang boleh disifatkan sebagai ‘Human Trafficking’ atau ‘penyeludupan dan pemerdagangan manusia’,” keluh Ansari yang mendesak amalan songsang ini dihentikan serta merta.

Walaupun Konvensyen Kanak-Kanak (CRC) tidak menyebut soal kerakyatan kanak-kanak, namun Malaysia tidak menerima pakai perkara 1, 2, 7, 13, 14, 15.28 (1) (a) dan 37 Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak; maka Ansari menjelaskan bahawa segala urusan berkaitan pengangkatan anak atau anak pelihara haruslah mematuhi Seksyen 6 (3) Kawalan Masuk Ke Dalam Malaysia (Akta Imigresen 1959/1963 Pindaan 1997).

“Adalah tidak munasabah dan menyalahi undang-undang jika Warganegara dibenarkan mengambil anak bukan warganegara dan begitulah sebaliknya kerana bukan warganegara tidak berhak untuk berada di negara ini,” kata Ansari yang menyeru agar Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak memproses sebarang permohonan pengangkatan anak atau permohonan anak pelihara yang kerakyatannya belum ditentukan.

Dalam hal ini, kata Ansari, Pengarah JPKAS dan Pegawai Undang-Undang Jabatan Kebajikan Masyarakat harus meletakkan jawatan kerana gagal memahami akta dan sekaligus menghina mahkamah.

Sewajarnya, jika mahkamah memutuskan pengangkatan atau anak pelihara yang tidak sah taraf diberikan kepada keluarga pemohon, JPN sewajarnya mengemukakan rayuan atau memohon agar mahkamah mengenepikan perintah yang telah dibuat kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Ansari, pihaknya akan mengemukakan cadangan agar Wakil Rakyat Pakatan Rakyat mendesak Parlimen meminda Akta Kanak-kanak 2001 yang tidak praktikal terutama berhubung had umur pesalah juvana dan perlantikan Penasihat Mahkamah Kanak-Kanak.

Oleh: ZAINUDDIN HASSAN (sabahkini)

13 comments:
Write comments
  1. jus soli masih boleh diguna pakai ka? walaupu terdapat mahkamah kanak2, namun kanak2 masih juga dikawal oleh peraturan orang dewasa.

    ReplyDelete
  2. uhm , saya nak bagi cadangan kat sabah daily ni agar ruangan komen boleh diuba suai sedikit. ini kerana, sukar kami nak buat komen bila kami terpaksa return ke page berita pastu ke page komen lagi utk membaca maklumat dengan betul. sebabnya, saya adalah pembaca setia sabahdaily ni.

    ReplyDelete
  3. soal hak penjagaan kanank2 bukan warganegara oleh warganegara perlu diambil kira. pertama, kita tidak mahu mengambil anak angkat yang dilahirkan oleh bukan warganegara sesuka hati kerana masalah sosial lain boleh timbul. mungkin mereka dijual dijadikan pekerja bawah umur, atau pelacur atau didera sebagai orang gaji. perlu ada penyelesaian bagaimana mahkamah kanak2 menyelesaikan kes anak warga asing. bg anak tidak sah taraf, mereka sepatutnya diletakkan di rumah jagaan sehingga ada penjaga yang benar2 layak dan pihak tersebut perlu mengurus dokumen kanak2 tersebut bg mengurangkan masalah pendaftaran mykad kelak.

    ReplyDelete
  4. sebenarnya, apa yang saya tau la kan.. prosiding mahkamah terlalu lama dan membuang duit yang byk sy kata begini sebab sy ada kawan yg diambil sebagai anak angkat oleh makciknya sendiri utk kemudahan masa depan terutamanya mendapat kemudahan pendidikan. terlalu banyak proses yg dilalui. oleh itu, saya harap JPKA dapat meningkatkan kemudahan utk memproses status anak angkat ni.

    ReplyDelete
  5. orang suka mengambil jalan mudah sebenarnya. tapi yang kesian, anak angkat tu juga. ramai di antara kita yang tidak sedar kepentingan mendaftar anak dengan segera dan memberi maklumat yg betul. bila nak masuk sekolah dan buat pinjaman pendidikan, memang masalah ni.

    ReplyDelete
  6. keputusan yang membelakangkan mahkamah memang salah. mahkamah diwujudkan untuk menegakkan keadilan. apa2 keputusan mahkamah semestinya telah dikaji selidik terlebihdahulu dan keputusannya adalah yang terbaik. mahkamah kanak2 telah disediakan dan walaupun prosedur mengambil anak angkat ini rumit dan memakan masa tetapi ini adalah untuk kebaikan masa depan kanak2 itu dan juga bakal penjaganya.

    ReplyDelete
  7. Sabah sudah kebanjiran warga asing. kelahiran warga mereka disini idak dapat dibendung lagi. sudahlah mereka tidak ada hak (bg yg illegal) anak2 kita pun turut menjadi salah seorang mangsa kalau rekod pendaftaran kelahiran di sini tidak diurus. ikutlah prosedur yg betull utk mengelakkan masalah di masa hadapan. kalau tidak, tdak selesai2 masalah anak sendiri yg jd ATI (anak tanpa izin)

    ReplyDelete
  8. Bagi saya ada sebabnya c Ithong Terang ni buat mcm tu..
    bukan apa prosiding mahkamah telampau lama bah..
    bikin pening kepala ja..
    Tapi apapun saya setuju juga la kalau undang yg ditetapkan dipatuhi :)

    ReplyDelete
  9. Saya tak bukannya pakar undang2.. Tapi bagi saya membelakangkan Akta yg sedia ada, tu tak baiklah. Nanti apa pula anggapan org kan.. hehehe

    Tapi bagus juga ba kalau dgr penjelasan dari pengarah JPAS ni.. mana tau, boleh diterima. hehe

    ReplyDelete
  10. Moist, betul tu.. ingatkan wajah baru tambah best.. Tapi ni mcm complicated pula. huhu

    ReplyDelete
  11. hhmm.. ntah apa lagi cerita ni oo.. ada2 saja masalah yg timbul.
    Kasi settle lah cepat kunun sblm melarat lagi ni gosip. adii!!!!

    ReplyDelete
  12. Pakar undang-undang yang dapat menghuraikan isu ini. Pendapatan saya ialah, pegawai kerajaan mesti menjalankan tugas dibawah akta-akta dan oddinen yang diperuntukan.

    ReplyDelete
  13. Ini bermakna jpka sudah mengatasi kuasa yang diperuntukan untuk mahkamah.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.