Friday, April 9, 2010

PRK Hulu Selangor: PKR Ada Kelebihan – Khir Toyo

Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo berkata, Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempunyai kelebihan dalam pilihanraya kecil parlimen Hulu Selangor 25 April ini kerana berjaya memainkan isu-isu perkauman khususnya untuk menarik pengundi Melayu.

Selain itu, bekas menteri besar Selangor berkata, 16,964 pengundi Cina iaitu 26.3 peratus daripada 64,500 pengundi yang mengundi PKR dalam pilihanraya umum lalu belum kembali kepada Barisan Nasional (BN).

Khir Toyo yang juga bekas pengerusi perhubungan Umno Selangor itu berkata, PKR telah memainkan isu perkauman apabila mendesak BN supaya meletakkan calon Melayu di parlimen tersebut.

"PKR yang rasis telah membuat provokasi kepada Umno supaya meletakkan calonnya kerana PKR akan meletakkan calon Melayu.

"Banyak penyokong Umno sudah termakan isu dan kemungkinan besar mereka akan mengundi parti pembangkang yang meletakkan calon Melayu.

"PKR boleh letak calon Melayu tetapi jika BN letak calon Umno, maka orang tidak akan percaya lagi kepada parti itu," katanya ketika diminta mengulas keputusan BN untuk meletakkan calon MIC dalam pilihanraya Hulu Selangor.

Semalam semasa menutup Kovensyen BN Selangor di Shah Alam, Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN negeri mengumumkan BN akan meletakkan calon dari MIC.

Sebelum ini, ada ura-ura Umno mahu meletakkan calonnya bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhammad Taib bertanding di kerusi tersebut.

Mengulas perkara tersebut, Dr Khir yang kini Adun Sungai Panjang berkata, dakwaan tersebut merupakan provokasi yang dibuat oleh PKR bertujuan untuk memecahbelahkan undi Melayu.

"Umno tidak boleh bertanding di situ kerana ia merupakan kerusi tradisi MIC.

Jika Umno meletakkan calonnya, orang tidak akan percaya lagi kepada parti Melayu itu," tambahnya.

Bekas menteri besar Selangor itu berkata, daripada kira-kira 32,000 pengundi Melayu, 15,000 merupakan penyokong PAS dan Umno hanya 17,000 orang.

Beliau menambah, sehingga ini pengundi Cina yang menyokong pembangkang dalam pilihanraya umum 2008 belum kembali ke pangkuan BN.

"Saya rasa pengundi Cina akan menjadi penentu kemenangan kali ini," katanya.

Dr Khir juga berkata, kerajaan Selangor akan menggunakan semua jentera kerajaan untuk membantu kemenangan calon Pakatan Rakyat.

Katanya, Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim telah membuka sebuah pejabat di Hulu Selangor sebagai persiapan menghadapi pilihanraya kecil itu.

"Dia (Khalid) tidak pernah melawat Hulu Selangor tetapi oleh kerana adanya pilihanraya (kecil) beliau telah mengadakan mesyuarat exco dan saya difahamkan meluluskan berjuta-juta ringgit untuk penduduk di kawasan parlimen tersebut.

"Khalid sudah mula tabur janji dan projek untuk penduduk Hulu Selangor," tambahnya lagi.

Pilihanraya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang dari PKR, Datuk Zainal Abidin Ahmad baru-baru ini.Dalam pilihanraya lalu, Zainal mengalahkan calon MIC, Datuk G Palaninel dengan majoriti 198 undi.

PKR dijangka meletakkan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim bertanding di situ.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menetapkan 17 April sebagai hari penamaan calon dan 25 April hari mengundi. -FMT

MIC H.Selangor : Pergeseran Dr Subra dengan Palani?

Naib Presiden MIC, Datuk Dr. S. Subramaniam pula mendapat tempat muka depan Tamil Nesan hari ini — menafikan hubungan beliau dengan Timbalan Presidennya Datuk G. Palanivel, yang disebut-sebutkan bakal diturunkan di Hulu Selangor, mula renggang dan dingin.

Tajuk utama itu akhbar berkenaan terus menggambarkan seolah-olah wujud ‘pergolakan’ dalam MIC — komponen Barisan Nasional (BN) menjelang hari penamaan calon 17 April ini.

Laporan muka depan itu muncul pada hari yang sama Pengarah Urusan Tamil Nesan S. Vell Paari mengumumkan ‘gencatan senjata’ dengan meminta semua pemimpin MIC bekerja rapat untuk memastikan kemenangan wakil MIC.

Vell Paari, anak kepada Presiden MIC, juga meminta kerjasama bekas timbalan presiden dan timbalan menteri Datuk S. Subramaniam yang akhbar itu pada Sabtu lalu menyifatkannya cuba mensabotaj Palanivel daripada diturunkan di Hulu Selangor.

Laporan Tamil Nesan hari ini memetik Dr Subramaniam, yang juga Menteri Sumber Manusia, satu-satu wakil MIC dalam Kabinet berkata, menafikan beliau mengiktiraf Timbalan Ketua Pemuda V. Mugilan berbanding Palanivel untuk dipilih calon MIC di Hulu Selangor.

Mugilan juga merupakan Ketua Pemuda MIC Hulu Selangor, yang ketua bahagiannya ialah Palanivel.

Mugilan dan Ketua Penerangan MIC P. Kamalanathan juga disebut-sebut sedang dipertimbangkan untuk menjadi calon kerusi Parlimen Hulu Selangor.

Setiausaha Akhbar Dr. Subramaniam E. Sivabalan yang dipetik berkata, laporan media baru-baru ini berniat untuk mencetuskan permusuhan dan pergeseran di antara menteri itu dan Palanivel, yang bertekad untuk mendapatkan semula kerusi Hulu Selangor jika dicalonkan oleh MIC-BN.

Sivabalan berkata, Dr. Subramaniam menyokong syor Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu agar Palanivel diturunkan pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor.

“Kami menyokong keputusan itu. Kami akan bekerja keras untuk memastikan kemenangan BN,” kata beliau dalam kenyataan kepada Tamil Nesan.

Dalam laporan yang sama, Ketua Pemuda MIC T. Mohan pula menafikan laporan bahawa Dr. Subramaniam akan kehilangan jawatan menteri jika Palanivel bertanding dan memenangi kerusi Hulu Selangor.

Katanya, kerja keras Dr. Subramaniam dengan sendiri akan memastikan beliau akan kekal sebagai anggota jemaah menteri.

Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan BN akan diwakili MIC pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen pada 25 April.

Penamaan calon adalah pada 17 April.

Palanivel yang tewas dengan perbezaan 198 undi dua tahun lalu disyorkan oleh Samy Vellu kepada Pengerusi BN.

Kini nama Mugilan dan Kamalanathan juga muncul.

Najib menyerahkan kepada timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengumumkan calon BN pada 15 April. -MI

Wednesday, April 7, 2010

Lepak dan merokok di kalangan pelajar K'gau berleluasa

KENINGAU: Santai sambil merokok – budaya ini sudah menjadi tabiat pelajar-pelajar sekolah di Keningau, menyaksikan kegiatan melepak di kalangan mereka semakin menjadi-jadi.

Aktiviti ini sama ada disedari atau tidak, ibu bapa dan guru-guru perlu duduk semeja untuk berbincang – kenapa masalah itu semakin tidak terkawal.

O704-lead-9bLepak dan merokok di kalangan pelajar sekolah mengisi perbincangan pro dan kontra di kalangan warga Keningau, yang membawa kepada usul mendedahkan aktiviti itu melalui akhbar.

Bertindak daripada aduan, akhbar ini telah melakukan intipan beberapa hari di beberapa kawasan strategi, dan mendapati dakwaan itu benar-benar berlaku.

“Bosan di rumah,” itulah jawapan yang diberikan oleh pelajar-pelajar sekolah, ketika diajukan soalan.

Sambil merokok dan bergurau senda dengan rakan-rakan lepak, pelajar itu mendakwa mereka kehilangan hala tuju apabila ibu bapa gagal menunaikan permintaan mereka untuk mendapatkan sesuatu, seperti telefon bimbit dan pakaian.

“Ibu bapa kami sentiasa menyogokkan jawapan tidak ada duit … ini yang membosankan,” jelas pelajar-pelajar ini dan menambah, mereka melepak sekadar untuk menghilangkan tekanan keluarga.

Intipan yang dibuat mendapati, kebanyakan pelajar yang terlibat melakukan aktiviti itu selepas waktu sekolah, atau mereka yang ponteng sekolah.

Satu kes yang berasingan dalam kumpulan gadis-gadis remaja, mereka mendakwa terpaksa melepak untuk mencari peluang daripada kalangan rakan-rakan lelaki atau orang awam yang sanggup menunaikan permintaan mereka.

“Pok makan, bos,” inilah jawapan yang mereka berikan kepada wartawan.

Kajian mendapati berpuluh gadis remaja yang tersungkur dan terpaksa mengakui hakikat dijadikan ‘perempuan simpanan’, di kalangan tertentu semata-mata untuk mengejar kemewahan.

Terdapat pelajar turut terlibat dalam kes-kes seumpama, dan kajian mendapati kebanyakannya berasal daripada keluarga miskin.

“Kemiskinan mendorong kami untuk melakukan semua ini,” jelas seorang pelajar yang kini sebagai perempuan simpanan kepada seorang lelaki yang tidak dinamakan.

Orang ramai yang turut diminta pendapat mencadangkan, sekolah perlu melalui proses penjenamaan semula dalam usaha memartabatkan gedung ilmu itu, bukan sekadar melahirkan pelajar berilmu tetapi pelajar bermoral tinggi. -NST

Pemimpin UMNO Sedang Sibuk Tebalkan Poket?

Pemimpin UMNO di negeri ini didakwa sedang berlumba mengumpulkan harta kekayaan masing-masing setelah menyedari Barisan Na-sional (BN) tidak berpeluang untuk menang pada pilihan raya umum akan datang.

Penolong Setiausaha Pas Terengganu, Hanafiah Mat berkata, ia terbukti apabila majoriti tender projek yang dikeluarkan kerajaan dimonopoli pemimpin UMNO, sekali gus membuktikan hakikat bahawa parti itu mengutamakan kroni.

“Cerita pemimpin UMNO sedang ‘besarkan perut supaya kenyang’ sudah menjadi buah mulut rakyat khususnya di kedai kopi dan lebih mengejutkan, penyokong kerajaan sendiri turut bercakap mengenainya.

“Ini berlaku kerana mereka tahu rakyat tidak akan memberi mandat kepada BN pada pilihan raya umum nanti kerana mengalami krisis kepimpinan yang begitu serius,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, mengumpulkan harta dilihat sebagai perkara penting kepada orang UMNO dan atas sebab itu kebajikan rakyat bukan lagi fokus utama melainkan usaha memperoleh projek yang mampu ‘menebalkan’ poket.

Beliau berkata, memang benar penubuhan UMNO satu ketika dahulu khususnya zaman pemerintahan Tun Razak Husein adalah berjuang membasmi kemiskinan dan membantu rakyat namun sekarang matlamatnya jauh tersasar.

Malah katanya, sikap mencari kemewahan bukan sahaja berlaku di negeri ini, sebaliknya turut berleluasa di negeri pimpinan BN lain termasuk kepimpinan Kerajaan Pusat sendiri.

“Perjuangan UMNO sudah jauh tersimpang dan Pas bersama pakatan pembangkang akan berusaha mengembalikan semula hak rakyat.

“Rakyat sudah bosan sebenarnya dengan sikap pemimpin UMNO dan mereka akan jatuhkan kerajaan BN pada pilihan raya umum nanti,” katanya. -SH

Enggan pindah, pelajar Unisel berdemo

Sekumpulan pelajar bioteknogi Universiti Industri Selangor (Unisel) hari ini berdemonstrasi di di Shah Alam bagi membantah tindakan universiti milik kerajaan Selangor itu memindahkan fakulti mereka ke kampus lain.

Kira-kira 50 pelajar daripada kampus Shah Alam itu yang kelihatan lengkap berpakaian makmal, berkumpul di depan Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri kira-kira jam 10 pagi tadi.

Mereka berhasrat menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya membatalkan keputusan Unisel yang mahu memindahkan fakulti bioteknoginya ke kampus utama di Bestari Jaya.

Memorandum tersebut berjaya diserahkan oleh seorang pemimpin pelajarnya kepada setiausaha politik kepada menteri besar, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Seorang pegawai universiti berkenaan ketika dihubungi mengesahkan mengenai demonstrasi pelajar tersebut.

Tambahnya, pihak universiti dijangka mengeluarkan kenyataan bagi menjelaskan kontroversi tersebut petang ini. -MK

Bekas Pengarah JPS didakwa

LABUAN: Bekas Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Wilayah Persekutuan Labuan bersama keraninya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen kelmarin oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) kerana didakwa atas dua tuduhan memalsukan tuntutan dokumen.

Shahrunizam Mashkor, 36, bersama keraninya Rahimah Abdul Rashid, 46, didakwa melakukan tuntutan palsu berkaitan dengan kerja-kerja pembaikan kemudahan pengairan bagi mengorek dan mendalamkan muara sungai di Kampung Sungai Miri dan Kampung Batu Manikar.

Bagi tuduhan pertama Shahrunizam bersama Rahimah dituduh bersubahat memalsukan dokumen baucar bayaran No 0078 bernilai RM16,500.00 berkenaan bayaran kerja mengorek dan mendalamkan Muara Sungai Batu Manikar pada 13 Mac 2008.

Manakala tuduhan kedua, Shahrunizam dan Rahimah dituduh bersubahat memalsukan dokumen baucar bayaran No 0077 bernilai RM18,200.00 berkenaan bayaran kerja mengorek dan mendalamkan muara Sungai Miri pada 11 Mac 2008.

Bagaimanapun kedua-dua kerja-kerja itu tidak pernah dilaksanakan sama sekali.

Kedua-dua mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Pengairan dan Saliran (JPS) Labuan, Ujana kewangan pada Mac 2008 mengikut Seksyen 11 © Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Jika sabit kesalahan kedua-dua mereka boleh dikenakan hukuman tidak kurang daripada 14 hari dan tidak lebih 20 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah hal perkara kesalahan yang dilakukan atau RM10,000.00 mengikut mana-mana yang lebih tinggi mengikut Seksyen 16 Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Tiada sebarang pengakuan di buat oleh kedua-dua tertuduh. Sementara itu Hakim Mahkamah Seksyen Labuan, Ismail Ibrahim menetapkan pada 10 Mei depan untuk sebutan semula kes berkenaan.

Kedua-dua tertuduh yang tidak diwalili peguam diikat jamin sebanyak RM10,000 deposit RM3,000 setiap seorang yang dicagarkan oleh seorang penjamin tempatan.

Kes pendakwaan di lakukan oleh Pegawai Pendakwaraya SPRM, Ag Shamsul Baharum dan dibantu oleh Timbalannya Mayasin Matli.

Tuesday, April 6, 2010

BROADBAND, SEMAKIN LUAS, SEMAKIN PENIPU?

KEGHAIRAHAN Celcom yang menerajui sistem jalur lebar negara untuk melebarkan sayapnya ke Lahad Datu yang mempunyai masalah pancaran kurang jelas, akibat sistem yang belum dikemaskini; menimbulkan kemarahan para pengguna broadband di daerah ini.


PENIPU… Papantanda ini adalah papantanda sebenar yang didirikan di bulatan Jalan Tengah Nipah off Kastam Baru Lahad Datu; tetapi cogankata asalnya, ‘Semakin Luas @ Wilayah Celcom Broadband’ ditukarkan kepada ‘Semakin Luas @ Semakin Penipu’ sebagai tanda protes penduduk Lahad Datu terhadap Sistem Jalur Lebar Celcom.

Seorang pengguna broadband, Sitta Sarah, 26, ketika menghubungi Sabahkini.net berkata beliau mendaftar broadband di Celcom Lahad Datu sebulan yang lalu dengan bayaran RM100 sebagai yuran pendaftaran.

Namun sejak daripada pendaftaran tersebut beliau seringkali gagal menggunakan broadband atau gagal mendapat capaian ke mana-mana server sekalipun talian pada komputer ribanya kelihatan stabil antara tiga hingga empat ‘line’ (capaian) pada setiap masa.

Sitta yang menetap di Taman Warisan 1, Jalan Tengah Nipah, Lahad Datu langsung tidak dapat menggunakan broadbandnya di rumah kerana langsung tidak ada talian atau hanya satu atau dua garis capaian sahaja.

“Apa gunanya saya membayar RM68 sebulan jika broadband yang dibekalkan kepada saya gagal mengakses sebarang talian internet? Kalau di bandar kadang-kadang boleh capai, tapi di gerai saya di Dam dan rumah saya, langsung tiada line,” ujar Sitta Sarrah yang baru menjelaskan bil bulan kedua sejumlah RM98 (termasuk caj pelbagai) pada petang tadi.

Menurut Sitta Sarah, bukan beliau sahaja yang mengalami masalah tersebut, malah beberapa rakannya turut mengadu mengalami masalah serupa sehingga menyukarkan mereka berurusan dengan menggunakan internet.

“Jika keadaan berterusan, mungkin saya akan kembalikan broadband ini kerana langsung tidak memuaskan. Lebih baik saya menggunakan wi-fi percuma di restoran daripada membeli broadband, tetapi tidak dapat digunakan,” kata Sitta Sarah yang mendesak agar Celcom menaiktaraf pemancarnya yang semakin mundur kerana keghairahan untuk menyaingi Digi yang mudah dicapai di semua kawasan termasuk Tungku.

Kata Sitta Sarah, beliau akan mengemukakan aduan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna jika keadaan masih berlarutan sehingga hujung April.

Oleh: SURIATI MAHMUD (sabahkini)

Pentas Pemuda Detik Kebangkitan Gerakan Perubahan di Sarawak

Miri,5 April 2010- Dewan Pemuda PAS Miri bersama-sama parti komponen Pakatan Rakyat Sarawak terdiri Angkatan Muda Keadilan;DAPSY dan SNAP telah menjayakan program Pentas Pemuda Pakatan Rakyat bertempat di perkarangan rumah YDP Pas Miri;Tuan Haji Jofri. Lebih menarik kehadiran pimpinan Pemuda PAS Pusat ;Ustaz Nik Abduk Nik Aziz serta Saudara Khairul Anuar ,Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Pusat yang juga merupakan bekas calon Parlimen Pekan yang berhadapan dengan Perdana Menteri Najib pada 2008. Lebih ratusan hadirin tidak berganjak dari tempat duduk biarpun hujan turun pada malam itu. Hadirin yang kebanyakan golongan pengundi muda turut serta mendaftarkan diri sebagai ahli PAS bersempena program Jom Sertai PAS.


Simbolik pada malam Pemuda Pakatan tersebut;satu majlis pengistiharan Pakatan Rakyat Miri dengan setiap wakil Pemuda parti menyerahkan vest yang tertera logo keempat empat parti dan nama Pakatan Rakyat kepada semua pimpinan tertinggi PR Miri. Lebih manis ia disarungkan oleh komponen berlainan dengan Pn Zulhaidah (AMK) menyarungkan kepada Madam Lim yang mewakili Saudara Fong Pui Tek(DAP) dan Ustaz Nik Abduh (DPPas)menyarungkan kepada Dr Michael Teo(PKR)Sementara wakil DAPSY ;Saudara Micahel Ding menyarungkan kepada wakil SNAP,sementara wakil SNAP Abg Azeez memakaikan kepada Haji Jofri(PAS) Ini jelas menunjukkan solidariti Pakatan Rakyat yang terus kukuh menjelang PR DUN nanti.

Michael Ding(DAP)selaku pimpinan muda pertama berucap telah menzahirkan akan kerjasama lebih erat khasnya dari pimpinan muda parti DAP yang akan terus kukuh dalam menjalin kerjasama erat bersama PAS ,PKR dan SNAP dalam menjayakan msi Pakatan. Beliau turut menyatakan kekaguman terhadap kepimpinan PAS terutama Tuan Guru Nik Aziz dalam menjadi pemimpin yang rendah diri dan berjiwa rakyat. Ini menjadi panduan hatta kepada pimpinan DAP seperti Datuk Seri Lim Guan Eng yang menyatakan misi mencontohi tokoh kepimpinan ulama Khalifah Umar Abdul Aziz.

Bagi Ketua Pemuda PAS Terengganu;Ustaz Wan Syukairi menjelaskan prinsip asas semasa kerajaan PAS memerintah di Terengganu pada 2004 bahawa setiap rakyat diberi tanah atas prinsip kebajikan dan kemanusiaan akan tetapi di Sarawak tanah adat dirampas dari menjadi hakmilik rakyat tetapi diberi kepada kroni pembalakan Taib Mahmud. Ini disusuli ucapan daripada saudara Khairul Anuar yang membawa isu pendidikan apabila menunjukkan fakta dan bukti masalah kewangan Kerajaan apabila mengarahkan pelajar Sekolah Berasrama pulang pada hujung minggu bagi mengurangkan kos perbelanjaan makanan. Lebih malang lagi kata beliau ;apabila PRK DUN Hulu Selangor ;BN menabur gula gula politik projek mee segera dengan janji membina 4 sekolah baru;akan tetapi di Miri Sarawak ;guru hanya tinggal di bawah bilik darjah malahan bekalan air bersih pun tidak mampu dimiliki.


Program pada malam tersebut dihangatkan oleh ucapan Ustaz Nik Abduh(PAS) yang membawa mesej dari ayahanda beliau Tuan Guru Nik Aziz bahawasanya PAS dan DAP akan terus erat bersama PR biarpun usaha giat UMNO/BN menghalangnya.Politik yang PAS majukan adalah berteraskan Politik Li Ta'arafu - politik saling menghormati, khususnya bagi negeri Sarawak yang bersifat majmuk, dan dengan ini,ia bertambah penting bagi PAS menyerlahkan sifat keadilan Islam yang mampu meraikan kepelbagaian.PAS menegaskan menawar diri untuk memimpin perubahan dan memikul amanah kepimpinan Negeri bersama setiap rakan PR dalam mengambil alih tampuk pemerintahan dari regim BN/Taib Mahmud yang telah mendatangkan banyak kegagalan dalam sudut pentadbiran di negeri iniPesan ayahanda TG Nik Aziz untuk membawa perubahan di Negeri Bumi Kenyalang yang kaya hasil minyak dan balak untuk kebajikan rakyat.

Pada kesokan harinya rombongan bergerak kerumah fakir miskin dan ibu tunggal bagi menyampaikan bantuan keperluan di sekitar Tudan. Ustaz Nik Abduh jelas kecewa dengan keadaan uzur rumah rakyat di Sarawak membandingkan hasil negeri yang begitu tinggi. Secara sinis beliau berkata “Di Kelantan kami disekat royalti ;tapi rakyat tidak semiskin di Miri. Di Sarawak empangan ada ;royalti ada;tapi rumah tiada elektrik ;dan hampir nak runtuh". Sementara itu;Ustaz Wan Syukairi secara berseloroh menambah "Jangan runtuh seperti Stadium di Terengganu sudah. Inikan semua salahguna kuasa BN”.

Yang pasti;program yang berlansung di Miri ini akan menjadi satu momentum perubahan besar kearah menjayakan misi Sarawak kearah Negeri Rakyat dan Berkebajikan.

http://www.pas-miri.blogspot.com/

PRK Hulu Selangor: Calon PR Calon Berwibawa

Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak mahu terburu-buru dalam menamakan bakal calonnya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini, kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Kita mempunyai ramai ahli berbakat untuk dijadikan calon,” katanya kepada pemberita di sini ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin bahawa Barisan Nasional akan mengumumkan nama bakal calonnya pda 15 April ini, dua hari sebelum hari penamaan calon.

Kerusi itu kosong berikutan kematian Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad daripada PKR pada 25 Mac lepas akibat kanser otak.

Dalam pilihan raya umum 2008, Zainal Abidin menewaskan Datuk G.Palanivel daripada BN dengan kelebihan 198 undi. Hulu Selangor mempunyai 63,593 pengundi.

Abdul Khalid berkata memandangkan PKR mempunyai ramai bakal calon, parti itu memerlukan masa untuk menilai mereka.

“Kita masih dalam proses. Saya sendiri tak tahu bila kita akan umumkan,” kata Abdul Khalid yang juga Pengerusi PKR Selangor.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PKR Fuziah Salleh berkata setakat ini, jawatankuasa pilihan raya Pusat parti itu telah menerima 12 nama yang dicalonkan oleh peringkat akar umbi.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen di Kuala Lumpur hari ini, Fuziah yang juga anggota Parlimen Kuantan, berkata PKR tidak menetapkan faktor kaum sebagai antara kriteria sebaliknya memastikan calon yang akan dipilih mampu diterima baik oleh rakyat dan boleh berkhidmat kepada masyarakat tempatan.

Katanya pengumuman mengenai calon PKR itu akan dibuat pada satu ceramah pengenalan calon minggu hadapan.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad dari PKR akibat barah otak pada 25 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 17 April untuk penamaan calon.

Datuk Zaid Ibrahim, ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi PKR dan Ketua Angkatan Muda Keadilan Shamsul Iskandar Md Akin adalah dua nama yang disebut-sebut sebelum ini sebagai tokoh yang layak untuk bertanding di Parlimen Hulu Selangor. -GB

Monday, April 5, 2010

Hulu Selangor: BN terus dalam dilema?

Umno Hulu Selangor masih berharap Datuk Seri Najib Razak mempertimbangkan dengan serius tuntutan mereka - yang mahukan kerusi parlimen tersebut ditandingi Umno - supaya sokongan rakyat terhadap BN tidak terjejas.

Naib ketua bahagiannya Datuk Adnan Buyong berkata, tuntutan yang dibuat mereka melalui satu memorandum pada 30 Mac lalu bukan mewakili hasrat mereka sahaja, tetapi kehendak rakyat Hulu Selangor secara keseluruhannya.

“Sampai sekarang di kedai-kedai kopi, orang bercakap hendak calon Melayu,” katanya ketika diminta mengulas tindakan lanjut mereka bagi memastikan kerusi parlimen tersebut dikembalikan ke pangkuan Umno.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, “berkemungkinan besar” calon BN di Hulu Selangor dipilih daripada MIC.


Kenyataan itu dilihat hampir mengesahkan pemilihan timbalan presiden MIC G Palanivel (kiri) yang akan berdepan sekali lagi dengan calon PKR dalam pilihan raya kecil pada 25 Mac ini.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Adnan berkata, beliau sendiri berani memberikan jaminan, ahli Umno akan tetapi setia bersama-sama parti walau siapa pun yang diumumkan terpilih mewakili BN pada 15 April ini.

Bagaimanapun, tambah Adnan, mereka hanya mewakili sebahagian kecil penduduk berbanding dengan jumlah pengundi Hulu Selangor keseluruhannya.

'Rakyat didahulukan, pencapaiannya tengoklah nanti'

“Kita akan terima siapa sahaja yang diputuskan parti, tetapi ahli parti hanya mewakili 20 peratus daripada pengundi. Pengundi di sini lebih 63,000.

“Mereka ini, kita tidak tahu (bagaimana sokongannya). Kita (sebagai) orang Umno OK,” katanya.

Ditanya adakan Umno akan hanya akur dan berdiam diri ekoran perkembangan terbaru itu, Adnan menjawab:

“Kita sudah buat semua perkara. Sekarang kita berdoa sahajalah. Tetapi kita tidak putus harap supaya permintaan kita diterima.

“Apa boleh buat, yang buat keputusan bukan kita. Kalau saya yang buat keputusan, senang,” katanya sambil ketawa kecil.

Menurut Adnan lagi, walaupun keputusan berhubung calon yang dipilih masih belum diketahui, berdasarkan kenyataan Najib, kemungkinan besar MIC akan bertanding sekali lagi di kerusi parlimen tersebut.

Dengan nada perlahan dan kecewa, Adnan sempat berseloroh, tetapi sinis:

“Saya pun tidak berapa faham dengan (konsep) 1Malaysia ini. Rakyat didahulukan, pencapaiannya (di Hulu Selangor) kita tengoklah nanti.” -MK

Zaid Calon PKR Hulu Selangor?

BEKAS Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim, 59 yang disebut-sebut akan diturunkan PKR untuk mempertahankan kerusi P94 Hulu Selangor sudah hampir pasti akan dicalonkan PKR.

Zaid (foto), yang meninggalkan Umno kerana tidak bersetuju dengan beberapa pendekatan Umno yang tidak berubah dari paradigma konservetifnya dipilih berdasarkan populariti beliau sebagai salah seorang pemimpin PKR di peringkat nasional.


Beliau adalah antara lima calon yang disenarai pendekkan PKR sebelum ini.Zaid adalah pemimpin PKR yang juga menjadi penyelaras parti-parti dalam Pakatan Rakyat.

Zaid lahir di kampung Cat, Bachok Bachok, Kelantan. Menyertai Umno sejak belasan tahun dan aktif dalam parti itu 1986 ketika berusia 40 tahun. Berkelulusan dalam bidang undang-undang dan menubuhkan firma guaman terkenal Zaid & Co.

Jawatan tertinggi beliau dalam Umno ialah selaku Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan. Pernah menjadi Ketua Umno Bahagian Kota Bharu.

Jawatan tertinggi yang pernah dipegang dalam kerajaan ialah selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri semasa Abdullah Baawi menjadi Perdana Menteri. Zaid mengambil keputusan melepaskan jawatan dan tidak terus berada dalam kabinet Najib apabila Abdullah tidak menjadi PM.

Seorang yang berprinsip dan tidak tunduk kepada tekanan daripada terus memperjuangkan nasib rakyat bawahan. Beliau mempunyai seorang isteri dan tiga orang anak.

Pemilihan Zaid sebagai calon PKR diyakini akan memberi tentangan sengit kepada UBN sama ada parti itu meletakkan wakil MIC atau Umno dalam pilihan raya 25 April nanti.

Semalam PKR telah mengadakan mesyuarat biro politik dan dipercayai telah memutuskan Zaid Ibrahim sebagai calon. Pengumuman Zaid sebagai calon akan dilakukan Penasihat PKR, Anwar Ibrahim Khamis atau Jumaat ini.

Petikan: http://msomelayu.blogspot.com/

20 tahun tiada bekalan air bersih dan elektrik

Siapa tidak kenal, Taib Mahmud, Ketua Menteri BN paling lama di Malaysia dan di Sarawak yang memerintah negeri itu sejak era mantan Perdana Menteri yang ketiga, Tun Hussien Onn.

Sepanjang memerintah negeri itu, Sarawak yang kaya dengan pelbagai khazanah alam selain memiliki minyak, tetap dikategorikan sebagai antara negeri miskin di negara ini.

Yang Di Pertua (YDP) PAS Kawasan Miri,  Tuan Haji Jofri Jaraiee berbesar hati menyumbang pelbagai keperluan asas  kepada kira-kira 15 keluarga di Kampung Tudan.Fenomena kemiskinan rakyat Sarawak misalnya dapat dilihat di Kampung Tudan, dalam kawasan Miri di negeri itu sepertimana lawatan pimpinan Pas Kawasan Miri bersama pimpinan Dewan Pemuda Pas Pusat baru baru ini.

Bendahari Pas Kawasan Miri, Zaidin Subri berkata, lawatan mereka yang lebih dikenali sebagai ziarah dakwah itu pada 4 April lalu berjaya menemui puluhan rakyat miskin di kampung itu.

Zaidin memberitahu, beliau dimaklumkan oleh penduduk yang merupakan perintis di kampung itu bahawa sejak kampung itu dibuka kira-kira 20 tahun lalu, kerajaan BN sehingga kini gagal menyalurkan bekalan air bersih dan elektrik kepada mereka.

“Penduduk melahirkan rasa kesal mereka terhadap kerajaan BN yang gagal menyalurkan bekalan air dan elektrik ke kampung mereka walaupun ia telah wujud sejak 20 tahun lalu,” katanya ketika dihubungi erapakatan.com.

Zaidin menambah, apalah ertinya pelaburan asing (FDI) di bumi kenyalang yang kononnya dikatakan teringgi di Malaysia jika rakyat marhaen terus dicengkam dengan kemiskinan sepanjang masa.

Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat Sarawak khususnya dalam kawasan Miri agar menilai dengan adil fenomena kemiskinan itu dengan kekayaan Sarawak yang gagal diuruskan oleh kerajaan BN sejak puluhan tahun lalu.

Pada majlis itu, PAS Kawasan Miri melalui Yang Di Pertua (YDP) PAS Kawasan Miri, Tuan Haji Jofri Jaraiee (gambar) berbesar hati menyumbang pelbagai keperluan asas kepada kira-kira 15 keluarga di Kampung Tudan.

Turut serta di majlis itu ialah Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasharudin Tantawi, Exco Pemuda PAS Pusat, Nik Abduh Nik Aziz, Timbalan Yang Di Pertua PAS Kawasan Miri, Khairul Nizam, Timbalan Setiausaha PAS Kawasan Miri, Arifiriazul dan puluhan pimpinan PAS negeri serta pemuda PAS Pusat.

Terdahulu, PAS mengadakan program Orang Muda Geng Kamek", Jom Sertai PAS ; Jejak Faqir dan Pentas Pemuda yang bertemakan "Sarawak : Kearah Kerajaan Rakyat dan Berkebajikan" yang mendapat sambutan memberangsangkan dari rakyat pelbagai kaum di negeri itu.

Oleh Masdar Wahid (erapakatan)

Isteri Ketua Cawangan UMNO Ugut Bogelkan Wanita?

KUALA LUMPUR : Angkara tidak puas hati melihat seorang wanita mentertawakan perobohan warung suaminya baru-baru ini oleh Penguatkuasa Pejabat Tanah Daerah, isteri seorang Ketua Cawangan UMNO di Johor bersama seorang rakannya cuba menarik baju dan kain wanita ini dengan tujuan untuk membogelkannya.

Tindakan tidak bermaruah isteri ketua Cawangan Umno ini terbantut apabila anak jiran mangsa keluar secara tiba-tiba.

Selain itu, wanita malang ini turut dilemparkan dengan pelbagai kata-kata kesat dan diugut akan dibogelkan sekali lagi di khalayak ramai jika mereka bertemu lagi.

Isteri Ketua Cawangan UMNO ini juga mengugut akan menarik bantuan sekolah anak wanita ini.

Berikutan insiden tersebut, mangsa bersama suami telah membuat aduan kepada Penyelia Pusat Aduan Rakyat Zon Kempas, Suhaizan Kayat yang juga merangkap Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat.

Menurut Suhaizan,mangsa mengalami trauma dan kebimbangan setiap masa sehingga mahu menaiki lif pun berasa takut berjumpa isteri Ketua Cawangan UMNO ini.

"Yang sangat membimbangkan adalah wanita ini sentiasa membawa pisau untuk mempertahankan dirinya jika berlaku sebarang usaha untuk membogelkannya. Keadaan ini boleh mengundang kejadian yang tidak diingini berlaku," ujar beliau yang menerima aduan itu Ahad lalu.

Oleh Noor Safinas Ghazali (erapakatan)

PRK Hulu Selangor : Calon PR Diketahui Esok

Spekulasi siapa yang akan mewakili Pakatan Rakyat bagi pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor akan diketahui selewatnya hari Selasa ini.

Ketika berucap di Majlis Penerangan Kerajaan Negeri Selangor di Kampung Desa Maju, Sg Tengi semalam Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan calon yang dipilih kelak adalah yang terbaik bagi membawa bendera KEADILAN dan Pakatan Rakyat pada pilihan raya kecil 25 April depan.

Secara berjenaka Anwar berkata berbanding dengan Pilihan Raya Umum 2008 di mana parti menghadapi masalah mencari calon yang berkaliber dan bersesuaian senario kini sudah berubah.

"Kita akan umumkan nama calon satu, dua hari lagi. Sekarang keadaan sudah berubah, calon lebih ramai daripada pengundi.

Dulu masa pilihan raya umum 2008 susah nak cari calon yang sesuai, sebab tu ada yang lompat. Saya minta maaflah pasal hal ini kerana masa tu kita pilih mana yang ada. Tapi tidak apa ini menjadi satu pengajaran kepada kita.

"Ada baiknya sekarang ramai calon kerana ini bermakna ramai calon yang layak, yang bagus-bagus semua," kata Anwar kepada lebih 500 penduduk Sg Tengi yang memenuhi Dewan Felda Sg Tengi dimana majlis diadakan.

Turut hadir pada majlis penerangan tersebut termasuk Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, Exco, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri serta kepimpinan KEADILAN peringkat pusat dan negeri.

PRK diadakan berikutan Ahli Parlimen Hulu Selangor, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, 71, meninggal dunia akibat barah otak 25 Mac lalu.

Allahyarham mengalahkan calon Barisan Nasional, Datuk G. Palanivel dengan majoriti tipis 198 undi.

Sementara itu laporan Bernama menyatakan Barisan Nasional dijangka mengumumkan calonnya pada 15 April. -GB

Pesta Kalimaran dicadang diadakan di Kota Kinabalu

TENOM: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Haji Masidi Manjun meminta Lembaga Kebudayaan Sabah (LKS) dan Persatuan Murut Sabah (PMS) agar menimbang penganjuran Pesta Kalimaran diadakan di Kota Kinabalu pada masa akan datang.

Katanya, penganjuran Pesta Kalimaran sekali sekala di Ibu Negeri membolehkan budaya suku kaum Murut yang mempunyai keunikan dapat dilihat dan dipelajari oleh kaum-kaum lain di negeri ini dan negara keseluruhannya.

Masidi berkata, jika ia dianjurkan di Ibu Negeri ia dapat menarik lebih ramai pengunjung sama ada pelancong dari luar dan dalam negera.

“Tujuan kita bukan mengetapikan Pusat Kebudayaan Murut Sabah di sini tetapi niat kita adalah untuk mengembangkan sambutan Pesta Kalimaran ke peringkat yang lebih besar” katanya kepada pemberita selepas mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman merasmikan Pesta Kalimran kali ke-8, tahun 2010 di Pusat Kebudayaan Murut Sabah dekat sini kelmarin.

Masidi juga mencadangkan agar Pesta Kalimaran diadakan di daerah-daerah lain yang mempunyai masyarakat Murut seperti Keningau, Nabawan dan Sipitang di masa akan datang.

Walau bagaimanapun katanya, ini hanya satu cadangan untuk dipertimbangkan oleh Persatuan Murut Sabah.

Mengulas permintaan Persatuan Murut Sabah supaya kerajaan mengurus dan mempercepatkan pengeluaran kawasan tanah dalam Sime Darby untuk meluaskan tapak Pusat Kebudayaan Murut Sabah, Masidi berkata, Kerajaan sedang berusaha dan akan berbincang dengan pihak pengurusan syarikat itu untuk tujuan berkenaan.

Beliau berkata, kerajaan bersetuju dengan permintaan itu kerana ia adalah keperluan jangka panjang bagi Pusat Kebudayaan Murut Sabah.

Namun katanya, keputusan tidak dapat dibuat dalam masa yang singkat kerana ia memerlukan penelitian dan perbincangan secara terperinci.

Mengenai dengan pertembungan tarikh Pesta Kalimaran dengan tarikh sambutan paskah bagi penganut-penganut kristian pada tahun ini Masidi berkata, kerajaan akan mengatasi masalah seumpama ini pada tahun akan datang.

Beliau mengakui ini adalah satu kesilapan dan tidak berulang pada masa akan datang bagi membolehkan semua masyarakat dapat melibatkan diri pada penganjuran Pesta Kalimaran akan datang.

Dalam masa yang sama Masidi berpuas hati dengan penganjuran Pesta Kalimaran pada tahun ini.

Katanya, sambutan bertambah baik dan terdapat acara tambahan seperti Rumah Terbuka Kalimaran yang dibiayai oleh Kerajaan Pusat melalui Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara, Negeri Sabah.

Menurut Masidi kehadiran masyarakat pelbagai kaum dan kepercayaan termasuk pelancong dari luar negara pada Pesta Kalimaran tahun ini dianggar melebihi 10,000 sepanjang sambutan pesta tahunan itu. -NST