Kemelut dalaman Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), yang tercetus kerana percaturan politik "dalang di sebaliknya", bakal mengundang malapetaka yang akhirnya memberi ruang kepada pembangkang untuk menggulingkan kerajaan negeri Barisan Nasional di Sarawak?
Langkah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak semakin hampir. Menurut pandangan sama ada pemerintah mahupun pembangkang di Sarawak, seandainya krisis yang melanda SPDP, parti komponen BN ketiga terbesar di Sarawak gagal dikawal, malah merebak ke Partai Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), maka Pakatan Rakyat berkemungkinan untuk melakukan kejutan di bumi kenyalang ini.
Parti komponen dominan BN Sarawak, PBB kini dibelenggu dengan pelbagai faktor yang "tidak menentu". Usia beberapa pemimpin tertinggi sudah lanjut, termasuk Ketua Menteri Sarawak Abdul Taib bin Mahmud (74 tahun), tetapi belum pula diberi kata putus siapakah penggantinya selepas ini.
Khabar tersebar bahawa Taib Mahmud berhasrat untuk menaikkan anaknya, Sulaiman Abdul Rahman agar mewarisi tempatnya supaya lagenda penguasaan politik Sarawak oleh kerabat Melanau bersinambungan. Seandainya khabar ini benar, ia bakal mencungkil ketidakpuasan dalam parti, malah sentimen ini mungkin mengombak sehingga mengkaramkan dinasti BN di Sarawak.
Gabungan SPDP dengan PRS
Krisis SPDP tercetus apabila Naib Presidennya, Peter Nansian menggerakkan usaha penggabungan SPDP dengan Parti Rakyat Sarawak (PRS), yang diketepikan sekian lama. Puak Peter Nansian tidak berpuas hati dengan presidennya selepas pemilihan parti pada akhir tahun 2009. Dalam keadaan tersepit, lapan orang pimpinan utama SPDP, termasuk penyandang jawatan ahli parlimen mahupun ADUN, menyertai PRS.
Kejadian sebesar ini tidak mungkin berlaku tanpa "agenda" tersembunyi di sebaliknya. Demikianlah tekaan yang bermain dalam otak mereka yang fasih dengan politik tempatan Sarawak. Seandainya SPDP mengamalkan budaya politik "membodek" dan terus berperanan sebagai pak turut, maka ia mungkin kekal tenteram di gelanggang politik Sarawak. Namun, beberapa langkah SPDP baru-baru ini telah memperlihatkan "cita-cita politik"-nya, yang melewati kesabaran PBB.
Agenda tersembunyi: pecah-belahkan Dayak
Antara lapan orang yang menyeberang ke PRS, Peter Nansian adalah seorang ahli politik veteran. Sebagai seorang "Menteri Muda" di Sarawak, mustahil Peter Nansian tidak mengetahui apa akibat daripada tindakannya yang belum dipersetujui kebanyakan anggota parti.
Malah, Presiden PRS, James Masing sebenarnya tidak perlu memikul risiko untuk berbalah dengan SPDP, lantaran tindakannya menyambut baik Peter Nansian. Jawapannya amat jelas, segala-gala ini adalah percaturan politik "tokoh" di sebalik tabir. Persoalan siapakah "tokoh" ini, bukan lagi sesuatu yang rahsia.
Percaturan politik sedemikian bukan sesuatu yang baru di bumi kenyalang. Parti komponen BN Sarawak seketika dahulu, Sarawak National Party (SNAP) dan Parti Bangsa Dayak Sarawak (PBDS) juga dilumpuhkan dengan strategi yang sama. Bermula dari retakan dalaman, dan berakhir dengan pergantungan pendaftarannya. Terdapat persamaan antara kedua-dua parti ini dengan SPDP, iaitu sumber dan kekuatannya berasal dari kaum Dayak.
Sejarah retakan komuniti Dayak
Pada hakikatnya, seandainya diimbas sejarah politik Sarawak, SNAP, PBDS dan SPDP sebenarnya "triniti", kerana kedua-dua PBDS dan SPDP berasal dari SNAP. PBDS ditubuhkan hasil retakan daripada SNAP, malah bertarung antara satu sama lain setelah diangguk oleh Ketua Menteri Sarawak, Taib Mahmud dalam pilihan raya negeri pada tahun 1983.
Keputusan pilihan raya tersebut memperlihatkan kekuatan yang setanding antara SNAP dengan PBDS, iaitu 50% masing-masing. Lantaran daripada itu, kedua-duanya hilang kedudukan sebagai parti komponen BN kedua terbesar, digantikan oleh Sarawak United People's Party (SUPP).
PBDS tidak berpuas hati dengan senario selepas pilihan raya tahun 1983. Ia dilanjutkan kepada krisis Ming Court pada tahun 1987, yang kemudiannnya menjurus kepada pilihan raya kilat. PBDS bekerjasama dengan Persatuan Rakyat Malaysia Sarawak (PERMAS) untuk mencabar BN, namun tewas dengan majoriti lima kerusi.
Kesudahan ini menyemai benih kegagalan dalam parti-parti ini. Selepas pilihan raya negeri Sarawak pada tahun 1991, PBDS sudah tidak terdaya untuk melakukan sesuatu, malah kehilangan lebih kerusi dan terpaksa kembali ke pangkuan BN tanpa syarat. SNAP pula berjaya mengembalikan sebahagian kerusinya, dan berpuas hati dengan kedudukan keempatnya dalam BN Sarawak.
Untuk jangka 10 tahun, politik Sarawak tenang tanpa gelora. Walaupun DAP pernah memenangi dua kerusi DUN pada pilihan raya negeri tahun 1996, tetapi ia tidak memberi apa-apa kesan.
Dayak menguasai 50%
Menjelang tahun 2000, agenda penggabungan antara SNAP dan PBDS diuar-uarkan semula. Ia menjurus kepada kemusnahan kedua-dua parti ini. Penguasaan 50% DUN oleh orang Dayak telah menjadi duri dalam daging untuk kaum lain (tidak termasuk Cina), terutamanya kaum minoriti yang memegang tampuk pimpinan, iaitu Melanau.
Pada tahun 1983, tangan di sebalik tabir politik Sarawak menggunakan pelbagai strategi untuk menyekat kuasa SUPP daripada mengembang, agar Melanau terus menguasai politik Sarawak. Oleh itu, tindakan PBDS dan SNAP untuk membangkitkan semula isu penggabungan dilihat sebagai provokasi.
Setelah agenda penggabung terdedah, SNAP mula terjerat dengan pelbagai masalah, sehingga pendaftaran partinya dilucutkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia pada November 2002.
Sama ada SPDP, SNAP mahupun PBDS, kesemuanya mengalami kemerosotan selepas itu. Perbalahan puak-puak dalaman parti, kehilangan sokongan dalam pilihan raya dan sebagainya, telah menjurus kepada kemalapan parti-parti tersebut.
SPDP bakal meretak
Pada tahun 2008, isu penggabungan antara SPDP dengan PRS diungkit semula. Apa yang menyusul kemudiannya adalah pertarungan dalam pemilihan parti SPDP. Cubaan demi cubaan dilakukan untuk menggulingkan pimpinan dalam SPDP, bagaimanapun, berakhir dengan kegagalan.
Sesungguhnya pimpinan SPDP berjaya mematahkan serangan ini, tetapi terpaksa mengakur apabila lapan orang pemimpin yang diketuai Peter Nansian, menyeberang ke PRS.
Dalam perkiraan Presiden PRS James Masing, parti komponen yang lain sebenarnya tidak boleh berkembang di bawah dominasi PBB. Daripada 71 DUN Sarawak yang dipertandingkan, PBB diperuntukkan 35, sementara SUPP 19, SPDP 9 dan PRS 8. "Penyeberangan" lapan orang ini telah memperluaskan empayar PRS, seperti yang dicita-citakan James Masing.
Untuk James Masing, sekiranya segala-galanya berjalan dengan lancar, maka hasratnya tercapai; jikalau sebaliknya, BN Sarawak bakal meleraikan perbalahan ini.
Daripada peruntukan kerusi DUN, PBB hanya kekurangan satu kerusi untuk membentuk kerajaan negeri di Sarawak. PBB boleh memilih untuk tidak mengendahkan parti komponen yang lain. Namun, pengembangan pengaruh pembangkang di Sarawak kini membimbangkan PBB, terutamanya di kawasan Iban.
Oleh yang demikian, kemelut politik dalam BN ini telah mencelarukan langkah BN untuk masuk ke gelanggang pilihan raya negeri. Seandainya keadaan tidak terkawal, tidak mustahil kemelut ini akan menjadi ribut politik di bumi kenyalang.
*Jiang Hao Ran ialah penganalisa politik di Sarawak. Tulisan ini diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang.