Wednesday, March 24, 2010

Ghapur marah Zahrain kaitkannya lompat parti

Datuk Abdul Ghapur Salleh (BN- Kalabakan) kelmarin mela- hirkan rasa marahnya di Dewan Rakyat terhadap Datuk Seri Zahrain Mohamed Has- him (Bebas-Bayan Baru) kerana menamakan beliau sebagai antara lapan wakil rakyat Barisan Nasional yang kononnya diumpan bagi menyertai rancangan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih kerajaan pada 16 Sept 2008.

“Saya sudah katakan saya tidak pernah diumpan, tidak pernah dipujuk dan tak pernah pergi Taiwan, bererti saya bukanlah golongan yang dipujuk untuk lompat. Jadi bererti umpan yang dibagi kepada rakan mungkin tidak cukup, jadi tidak lompat, umpan yang dibagi kepada Ahli Parlimen Bayan Baru ini besar, sebab dia lompat,” katanya ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Yang di- Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Abdul Ghapur mendesak Zahrain, yang baru-baru ini keluar daripada Parti Keadilan Rakyat untuk menjadi wakil Bebas, supaya menarik balik kenyataan yang menamakan beliau antara yang diumpan untuk lompat parti serta meminta maaf kepadanya.

Beliau turut mempersoal- kan tindakan Zahrain menyifatkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sebagai komunis.

“Bolehkah dalam dewan ini tunjuk satu orang antara kita ini komunis. Ini (tuduhan Zahrain) bukan bukti, ini salah dari segi peraturan, mana boleh duduk dalam Dewan Rakyat, Dewan Undangan Negeri seorang komunis,” katanya.

Abdul Ghapur turut mempersoalkan tindakan Zahrain yang meninggalkan Parti Keadilan Rakyat dua tahun selepas mengetahui pembohongan peristiwa 16 Sept yang diilhamkan Anwar.

“Sekarang sudah jadi Bebas dan kemudian nanti mahu masuk Umno. Jangan terima orang seperti ini. Kalau dia boleh gigit ketua dia, dia boleh gigit ketua kita juga,” katanya.

Abdul Ghapur berkata beliau membangkitkan isu itu selepas dihubungi ramai pemberita setelah Zahrain menyebut namanya ketika membuat pende- dahan di Dewan Rakyat mengenai rancangan Anwar meng- ambil alih kerajaan minggu lepas.

“Mungkin sekarang sudah gemuk, sudah kenyang, jadi macam-macam tohmahan, saya tidak tahu perjanjian dia dengan parti pembangkang, saya tidak tahu, saya bukan pernah di sana, tapi kenapa libatkan saya yang tidak ada dosa ini,” katanya.

Datuk Mohamad Aziz (BN- Sri Gading) kemudian bangun mencelah dan meminta Abdul Ghapur bertenang.

“Bayan Baru menceritakan, dia tidak menuduh Kalabakan, jadi…,” kata Mohamad.

Abdul Ghapur enggan memberi ruang serta mempertikaikan tindakan Mohamad mahu membela Zahrain.

“Takkan Sri Gading mahu bela, sedangkan saya dalam BN, mahu bela pembangkang yang mungkin mahu masuk Umno. Saya minta maaf saja, kalau orang seperti ini masuk Umno, mungkin Umno punya orang akan keluar,” katanya.

Beliau juga enggan membenarkan Zahrain mencelah walaupun untuk memberi penjelasan berhubung perkara itu. Abdul Ghapur turut menyatakan pendiriannya berhubung tindakan keluar parti.

“Saya kalau keluar parti, (adalah kerana) saya tidak percaya kepada pucuk pimpinan, bukan kerana dibeli. Ini penting, jangan bikin tohmahan yang bukan-bukan,” katanya. -NST

Skim cepat kaya guna nama Islam dikesan di Perak

Sebuah syarikat di sini dikesan menjalankan skim cepat kaya menggunakan nama “Islam” yang beroperasi aktif di Perak sejak Januari lepas dengan menyasarkan pelajar institusi pengajian tinggi.

Pengarah Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Perak, Mokhtar Sulaiman, berkata syarikat yang dipercayai beroperasi dari sebuah pejabat di sini menjalankan aktiviti berkenaan melalui kaedah wang pos.

“Beberapa peserta telah membuat laporan selepas menyedari mereka ditipu. Pengasas skim itu sangat bijak kerana menggunakan agama Islam dalam pelaburannya bagi menarik perhatian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Cabaran Pengguna Di Pasaran peringkat negeri Perak di sini hari ini.

Mokhtar berkata siasatan awal mendapati antara pelajar yang terjebak telah menggunakan wang pinjaman pendidikan untuk melabur dalam skim itu.

Beliau berkata siasatan dengan kerjasama Bank Negara Malaysia sedang dijalankan terhadap syarikat berkenaan.

Setakat ini, katanya, aktiviti itu dipercayai terhad di Perak dan belum menular ke tempat lain. — Bernama

Mungkin Tiada Pilihan Raya Kecil di Perlis

KALAU yang menghantar surat perletakan jawatan sebagai Adun itu dari kalangan Pakatan Rakyat, sudah tentu dunia akan riuh randah. Kalau tidak sampai langit nak runtuh pun, pasti bumi akan retak.Media massa kroni akan membuat berbagai ulasan berhubung dengan tindakan Adun itu. Tetapi nasib baik ianya berlaku ke atas Adun UBN, dari kumpulan MCA.



Media massa hanya melaporkan secara leteral saja perletakan jawatan Adun oleh Yip Sum Onn (foto) tanpa kupasan dan analisa mendalam seperti selalunya. Ia hanya melaporkan seagai berita biasa saja tidak disensansikan. Kalaulah Yip itu orang Pakatan sudah tentu ianya akan diulas, digambarkan bahawa Pakatan semakin lemah, kucar kacir dan entah apa-apa lagi

Sudah tentu ianya akan dikaitkan dengan prestasi negeri berkenaan di mana kejadian itu berlaku sebagai tidak menunjukkan pencapaian yang tidak memuaskan. Dan tindakan Yip itu juga akan digambarkan sebagai tindakan tidak percayai kepada pemimpin partinya di peringkat negeri berkenaan.

Tetapi sayang kerana ia berlaku dari kalangan UBN menyebabkan media massa jadi tidak bermaya dan ghairan untuk mengulas panjang. Kurang seronok untuk membuat ulasan. Inilah hakikat media massa negara ini senget sebelah.

Baru sekejap tadi saya menghubungi seorang pemimpin Umno negeri Perlis untuk bertanya apa yang berlaku itu. Menurut pemimpin itu apa yang berlaku itu sudah pun dijangka. Ia ada kaitan dengan kelemahan Umno Perlis yang dipimpinan Mohammad Isa Sabu yang juga MB.

Apabila ditanya apakah ia juga ada kena mengenai dengan kekalutan dalam UBN sendiri khasnya MCA, pemimpin itu tidak menafikan. Tetapi katanya apa yang Yip lakukan itu satu protes permulaan.

Jika tidak disekat menurutnya, atau gagal mengatasi masalah yang ada mungkin akan ada lagi Adun UBN yang tidak berpuas hati dan mengambil tindakan meletak jawatan. UBN Perlis boleh jadi huruhara.

You tengoklah nanti mungkin ada lagi kejutan selepas ini. yang jelasnya Mohammad Isa Sabu tidak mampu untuk memimpin Perlis,” ujarnya yang cuba menyembunyikan masalah sebenar di Perlis.

Perletakkan jawatan Adun Titi Tinggi itu disifatkan pemimpin berkenaan sebagai kegagalan Mohamad Isa Sabu sebagai MB. Katanya kalau beliau (Mohamad Isa) pandai dan bijak, tidak mungkin Adun Titi Tinggi itu melepas jawatan dalam keadaan sekarang.

“Apa yang berlaku menunjukkan kebenaran palsu yang disogokkan olehnya sebelum ini sudah terjawab,” ujarnya tanpa menjelas lanjur apa dimaksudkan kebenaran palsu itu.

Sementara seperti mana dilaporan media massa usaha sedang djalankan oleh pemimpin UBN untuk memujuk Yip supaya menarik balik perletakan jawatan itu. Pemimpin tertinggi MCA juga akan berusaha keras untuk memastikan Yip menarik balik perletakkan jawatan.

Sehingga kini speaker DUN Perlis juga belum menghantarkan surat itu kepada SPR. Dan kalau pun ia telah dihantar mungkin SPR akan membekukannya untuk memberi peluang kepada Yip menarik balik surat perletakan jawatan itu. SPR akan jadi lebih bertolak ansur kalau berdepan dengan kes-kes meliatkan Adun UBN.

Sebenarnya bagus juga kalau Yip tarik balik perletakan jawatan itu bagi mengelak diadakan pilihan raya kecil. Sudah banyak pilihan raya kecil berlaku jadi eloklah kalau tidak ditambah lagi. Lagipun pilihan raya itu tidak begitu mendesak kerana kalau kerusi itu bertukar kepada Pakatan pun ia tidak merubahkan kedudukan kerajaan Pelis yang kini dikuasai UBN.

Saya percaya Pakatan juga tidak begitu ghairah untuk menyertai pilihan raya. Yang jelasnya dengan apa yang berlaku itu ia menyeronokan Shahidan Kassim kerana beliau boleh eksploit keadaan itu untuk membuktikan bahawa beliau saja yang mampu dan layak memimpin Perlis.
Apapun saya yakin pilihan raya untuk kerusi Titi Tinggi tidak akan diadakan!

http://msomelayu.blogspot.com/

Retakan SPDP bakal mengundang malapetaka BN Sarawak?

Kemelut dalaman Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), yang tercetus kerana percaturan politik "dalang di sebaliknya", bakal mengundang malapetaka yang akhirnya memberi ruang kepada pembangkang untuk menggulingkan kerajaan negeri Barisan Nasional di Sarawak?


Langkah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak semakin hampir. Menurut pandangan sama ada pemerintah mahupun pembangkang di Sarawak, seandainya krisis yang melanda SPDP, parti komponen BN ketiga terbesar di Sarawak gagal dikawal, malah merebak ke Partai Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), maka Pakatan Rakyat berkemungkinan untuk melakukan kejutan di bumi kenyalang ini.


Parti komponen dominan BN Sarawak, PBB kini dibelenggu dengan pelbagai faktor yang "tidak menentu". Usia beberapa pemimpin tertinggi sudah lanjut, termasuk Ketua Menteri Sarawak Abdul Taib bin Mahmud (74 tahun), tetapi belum pula diberi kata putus siapakah penggantinya selepas ini.

Khabar tersebar bahawa Taib Mahmud berhasrat untuk menaikkan anaknya, Sulaiman Abdul Rahman agar mewarisi tempatnya supaya lagenda penguasaan politik Sarawak oleh kerabat Melanau bersinambungan. Seandainya khabar ini benar, ia bakal mencungkil ketidakpuasan dalam parti, malah sentimen ini mungkin mengombak sehingga mengkaramkan dinasti BN di Sarawak.


Gabungan SPDP dengan PRS

Krisis SPDP tercetus apabila Naib Presidennya, Peter Nansian menggerakkan usaha penggabungan SPDP dengan Parti Rakyat Sarawak (PRS), yang diketepikan sekian lama. Puak Peter Nansian tidak berpuas hati dengan presidennya selepas pemilihan parti pada akhir tahun 2009. Dalam keadaan tersepit, lapan orang pimpinan utama SPDP, termasuk penyandang jawatan ahli parlimen mahupun ADUN, menyertai PRS.


Kejadian sebesar ini tidak mungkin berlaku tanpa "agenda" tersembunyi di sebaliknya. Demikianlah tekaan yang bermain dalam otak mereka yang fasih dengan politik tempatan Sarawak. Seandainya SPDP mengamalkan budaya politik "membodek" dan terus berperanan sebagai pak turut, maka ia mungkin kekal tenteram di gelanggang politik Sarawak. Namun, beberapa langkah SPDP baru-baru ini telah memperlihatkan "cita-cita politik"-nya, yang melewati kesabaran PBB.


Agenda tersembunyi: pecah-belahkan Dayak

Antara lapan orang yang menyeberang ke PRS, Peter Nansian adalah seorang ahli politik veteran. Sebagai seorang "Menteri Muda" di Sarawak, mustahil Peter Nansian tidak mengetahui apa akibat daripada tindakannya yang belum dipersetujui kebanyakan anggota parti.


Malah, Presiden PRS, James Masing sebenarnya tidak perlu memikul risiko untuk berbalah dengan SPDP, lantaran tindakannya menyambut baik Peter Nansian. Jawapannya amat jelas, segala-gala ini adalah percaturan politik "tokoh" di sebalik tabir. Persoalan siapakah "tokoh" ini, bukan lagi sesuatu yang rahsia.


Percaturan politik sedemikian bukan sesuatu yang baru di bumi kenyalang. Parti komponen BN Sarawak seketika dahulu, Sarawak National Party (SNAP) dan Parti Bangsa Dayak Sarawak (PBDS) juga dilumpuhkan dengan strategi yang sama. Bermula dari retakan dalaman, dan berakhir dengan pergantungan pendaftarannya. Terdapat persamaan antara kedua-dua parti ini dengan SPDP, iaitu sumber dan kekuatannya berasal dari kaum Dayak.


Sejarah retakan komuniti Dayak

Pada hakikatnya, seandainya diimbas sejarah politik Sarawak, SNAP, PBDS dan SPDP sebenarnya "triniti", kerana kedua-dua PBDS dan SPDP berasal dari SNAP. PBDS ditubuhkan hasil retakan daripada SNAP, malah bertarung antara satu sama lain setelah diangguk oleh Ketua Menteri Sarawak, Taib Mahmud dalam pilihan raya negeri pada tahun 1983.

Keputusan pilihan raya tersebut memperlihatkan kekuatan yang setanding antara SNAP dengan PBDS, iaitu 50% masing-masing. Lantaran daripada itu, kedua-duanya hilang kedudukan sebagai parti komponen BN kedua terbesar, digantikan oleh Sarawak United People's Party (SUPP).


PBDS tidak berpuas hati dengan senario selepas pilihan raya tahun 1983. Ia dilanjutkan kepada krisis Ming Court pada tahun 1987, yang kemudiannnya menjurus kepada pilihan raya kilat. PBDS bekerjasama dengan Persatuan Rakyat Malaysia Sarawak (PERMAS) untuk mencabar BN, namun tewas dengan majoriti lima kerusi.


Kesudahan ini menyemai benih kegagalan dalam parti-parti ini. Selepas pilihan raya negeri Sarawak pada tahun 1991, PBDS sudah tidak terdaya untuk melakukan sesuatu, malah kehilangan lebih kerusi dan terpaksa kembali ke pangkuan BN tanpa syarat. SNAP pula berjaya mengembalikan sebahagian kerusinya, dan berpuas hati dengan kedudukan keempatnya dalam BN Sarawak.

Untuk jangka 10 tahun, politik Sarawak tenang tanpa gelora. Walaupun DAP pernah memenangi dua kerusi DUN pada pilihan raya negeri tahun 1996, tetapi ia tidak memberi apa-apa kesan.


Dayak menguasai 50%

Menjelang tahun 2000, agenda penggabungan antara SNAP dan PBDS diuar-uarkan semula. Ia menjurus kepada kemusnahan kedua-dua parti ini. Penguasaan 50% DUN oleh orang Dayak telah menjadi duri dalam daging untuk kaum lain (tidak termasuk Cina), terutamanya kaum minoriti yang memegang tampuk pimpinan, iaitu Melanau.

Pada tahun 1983, tangan di sebalik tabir politik Sarawak menggunakan pelbagai strategi untuk menyekat kuasa SUPP daripada mengembang, agar Melanau terus menguasai politik Sarawak. Oleh itu, tindakan PBDS dan SNAP untuk membangkitkan semula isu penggabungan dilihat sebagai provokasi.

Setelah agenda penggabung terdedah, SNAP mula terjerat dengan pelbagai masalah, sehingga pendaftaran partinya dilucutkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia pada November 2002.

Sama ada SPDP, SNAP mahupun PBDS, kesemuanya mengalami kemerosotan selepas itu. Perbalahan puak-puak dalaman parti, kehilangan sokongan dalam pilihan raya dan sebagainya, telah menjurus kepada kemalapan parti-parti tersebut.


SPDP bakal meretak

Pada tahun 2008, isu penggabungan antara SPDP dengan PRS diungkit semula. Apa yang menyusul kemudiannya adalah pertarungan dalam pemilihan parti SPDP. Cubaan demi cubaan dilakukan untuk menggulingkan pimpinan dalam SPDP, bagaimanapun, berakhir dengan kegagalan.


Sesungguhnya pimpinan SPDP berjaya mematahkan serangan ini, tetapi terpaksa mengakur apabila lapan orang pemimpin yang diketuai Peter Nansian, menyeberang ke PRS.


Dalam perkiraan Presiden PRS James Masing, parti komponen yang lain sebenarnya tidak boleh berkembang di bawah dominasi PBB. Daripada 71 DUN Sarawak yang dipertandingkan, PBB diperuntukkan 35, sementara SUPP 19, SPDP 9 dan PRS 8. "Penyeberangan" lapan orang ini telah memperluaskan empayar PRS, seperti yang dicita-citakan James Masing.

Untuk James Masing, sekiranya segala-galanya berjalan dengan lancar, maka hasratnya tercapai; jikalau sebaliknya, BN Sarawak bakal meleraikan perbalahan ini.

Daripada peruntukan kerusi DUN, PBB hanya kekurangan satu kerusi untuk membentuk kerajaan negeri di Sarawak. PBB boleh memilih untuk tidak mengendahkan parti komponen yang lain. Namun, pengembangan pengaruh pembangkang di Sarawak kini membimbangkan PBB, terutamanya di kawasan Iban.


Oleh yang demikian, kemelut politik dalam BN ini telah mencelarukan langkah BN untuk masuk ke gelanggang pilihan raya negeri. Seandainya keadaan tidak terkawal, tidak mustahil kemelut ini akan menjadi ribut politik di bumi kenyalang.

*Jiang Hao Ran ialah penganalisa politik di Sarawak. Tulisan ini diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang.

SPR Ikut Telunjuk Najib Tolak Pilihan Raya PBT?

Suruhanjaya Pilihan Raya menolak permohonan kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan untuk memilih Ahli Majlis.

Permohonan tersebut ditolak melalui surat yang difaks semalam kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng daripada pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof .

Surat sepanjang sepuluh muka surat memberikan alasan bahawa semua peruntukan undang-undang telah dimansuhkan dan terhenti berkuatkuasa dengan pemakaian Seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Dalam satu sidang media di lobi Parlimen, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menyatakan kekesalan kerajaan negeri terhadap keputusan tersebut yang dibuat tanpa perbincangan bersama.

"Mengikut Seksyen 113(24) menyatakan jelas bahawa kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk mengadakan pilihan raya dengan menggunakan Akta Kerajaan Tempatan dan Akta Pilihan Raya Kerajaan Tempatan yang hari ini masih wujud dan tidak dimansuhkan lagi.

"Saya amat kesal kerana SPR membuat keputusan sebelum berbincang dengan kerajaan negeri, kegagalan SPR ini menunjukkan ia telah melanggar prinsip kebebasan dan berkecuali.

"Adakah keputusan ini dipengaruhi oleh keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang tidak bersetuju dengan cadangan Pulau Pinang untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan.

"Ini mengambarkan SPR sebenarnya bukan badan bebas tetapi telah dipengaruhi dengan keputusan Najib untuk tidak membenarkan pilihan raya kerajaan tempatan ini diadakan,

"Oleh yang demikian kerajaan negeri akan bermesyuarat dan mengkaji kandungan surat tersebut sebelum mengambil tindakan yang selanjutnya", tegas Lim.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menghantar surat bertarikh 4 Mac 2010 untuk memohon SPR menjalankan pilihan raya Kerajaan Tempatan bagi dua Majlis Perbandaran yang berdasarkan Fasal (4) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan. -SK

SAPP Will Help SPR Register 240,000 New Voters



SABAH Progressive Party (SAPP) has put up a huge signboard at its headquarters to remind and urging the public especially the young people to get themselves registered as voters, so they can make use of their voting rights to elect a new government in the next general elections.

Its assistant secretary-general Foo Fook Ming said the next general elections is not far off so it is time to register as a voter now because the process would take around three to four months for the Election Commission (SPR) to get them listed.

“According to the SPR, there are around 240,000 citizens who have yet to register and this is a considerably sizeable amount,” Foo said.

“For those who want to register can go their district offices, post offices or the SPR offices near their areas.

“SAPP also assist citizens who want to register as voters at the various SAPP party offices as follows:

Kota Kinabalu area at SAPP HQ Office, located at Bornion Centre, Luyang (Tel: 088-242107, 088-235968)

Likas area at SAPP Likas office (Tel:088-381678)

Inanam area at SAPP Inanam office (Tel: 088-420691)

Sandakan area SAPP office (Tel: 089-632215)

Tawau area SAPP office (Tel: 089-775288)

Lahad Datu area SAPP office (Tel: 089-888131)

Keningau area SAPP office (087-336710)

Beaufort area SAPP office (087-222765)

All SAPP mobile service kiosks will also assist with voter registration.

“Do not miss this opportunity to determine the future of the state with your precious vote. Determine your future, do not let others determine it for you,” Foo stressed.

-sabahkini.net

Hina Mahkamah, Pengarah JPKA Boleh Dipenjara?

MENGIKUT Undang-Undang, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Am Sabah, Etong @ Ithong Terang boleh ditangkap dan dipenjarakan kerana dianggap menghina mahkamah apabila meluluskan ‘Anak Pelihara’ tanpa melalui proses mahkamah, selaras dengan Fasal 30 (4) Akta Kanak-Kanak 2001; sekalipun endorsemen dilakukan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Peguam Kanan Sabah, Haji Ansari Abdullah (Ansari & Co) menyatakan demikian ketika diminta mengulas berleluasanya kes buang bayi, penderaan dan proses anak pelihara yang diamalkan JPKAS selama ini yang membelakangkan Akta Kanak-Kanak 2001 yang diterima pakai di seluruh Malaysia.

“Pengarah JPKAS tidak mempunyai kuasa atau locus standi untuk menentusah atau meluluskan anak pelihara daripada Rumah Kanak-Kanak atau Pusat Jagaan Sementara tanpa melalui prosiding di Mahkamah Kanak-Kanak,” ujar Ansari yang menyifatkan amalan JPKAS meluluskan anak pelihara kepada orang tertentu adalah menyalahi undang-undang dan menghina mahkamah.

Tegas Ansari, mengikut Seksyen 30 (1) (e) akta berkenaan, kanak-kanak terbuang atau tidak mempunyai ibu bapa diperintahkan Mahkamah Kanak-Kanak agar ditempatkan di Rumah Kanak-Kanak atau tempat yang selamat yang diwartakan sehingga mencapai umur dua tahun sebelum boleh diserahkan kepada ibu bapa pelihara; mesti melalui prosiding Mahkamah Kanak-Kanak sekali lagi.

Dalam hal ini kata Ansari, Pengarah JPKAS tidak mempunyai kuasa atau locus standi untuk memberikan kanak-kanak tersebut kepada ibu bapa pelihara kerana mengikut tafsiran Akta Kanak-Kanak 2001, Ketua Pengarah ialah Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Walaupun keputusan mesyuarat kelulusan pemeliharaan anak ditandatangani oleh Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat yang pada dasarnya tidak hadir dalam mesyuarat berkenaan, namun kes anak pelihara harus dikemukakan kepada Mahkamah Kanak-Kanak kerana Ketua Pengarah hanya berusaha mencari penjaga atau ibu bapa pelihara yang sesuai sebelum diputuskan di Mahkamah Kanak-Kanak.

“Tidak ada sebarang penurunan kuasa boleh dibuat kepada Pengarah JPKAS oleh Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat kerana menyalahi undang-undang, ‘delagatus non potest delegare’; yang bermaksud perwakilan kuasa daripada Menteri kepada Ketua Pengarah JKM tidak boleh disub-delegate kepada Pengarah JPKAS,” tegas Ansari yang menyifatkan semua amalan yang dilakukan oleh JPKAS selama ini adalah amalan songsang dan merupakan satu kesalahan jenayah.

Jika Ketua Pengarah JKM dan Pengarah JPKAS berpendapat bahawa amalan mereka selama ini adalah sah, maka Mahkamah Kanak-Kanak haruslah dibubarkan kerana hanya membazirkan wang rakyat dan tidak dapat menjalankan fungsi sebenar perlindungan kanak-kanak.

Ansari yang juga Ahli Majlis Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjelaskan bahawa beliau menerima terlalu banyak rungutan bahawa anak pelihara yang diserahkan kepada ibu bapa pelihara tidak mengikut kelayakan dan dibuat sesuka hati sedangkan tempoh masa untuk keluarga menuntut belum dilampaui.

“Akta Kanak-Kanak 2001 sewajarnya dipinda segera kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan terutama membelakangkan Akta Imigresen apabila anak tidak sah taraf atau bukan warganegara diserahkan kepada ibubapa pelihara yang berstatus warganegara sehingga menjadikan kanak-kanak berkenaan mengalami masalah status kewarganegaraan dan akan tersisih daripada segala kemudahan kerana kewarganegaraannya belum ditentukan,” kata Ansari yang merujuk kepada beberapa anak pelihara yang mengalami masalah dokumen pengenalan diri kerana JPKAS mengabaikan tanggung jawab mereka menyediakan surat lahir dan kad pengenalan bagi kanak-kanak yang sudah mencapai umur 12 tahun.

Memandangkan Malaysia menerima pakai konsep Jus Soli untuk menentukan kerakyatan, maka jika ibu atau bapa kandung gagal ditemui, maka kanak-kanak berkenaan adalah tidak sah taraf kerana kewarganegaraannya belum ditentukan.

“Memberi hak jagaan kepada ibu bapa pelihara tanpa melalui prosiding Mahkamah adalah satu kesalahan jenayah yang boleh disifatkan sebagai ‘Human Trafficking’ atau ‘penyeludupan dan pemerdagangan manusia’,” keluh Ansari yang mendesak amalan songsang ini dihentikan serta merta.

Walaupun Konvensyen Kanak-Kanak (CRC) tidak menyebut soal kerakyatan kanak-kanak, namun Malaysia tidak menerima pakai perkara 1, 2, 7, 13, 14, 15.28 (1) (a) dan 37 Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak; maka Ansari menjelaskan bahawa segala urusan berkaitan pengangkatan anak atau anak pelihara haruslah mematuhi Seksyen 6 (3) Kawalan Masuk Ke Dalam Malaysia (Akta Imigresen 1959/1963 Pindaan 1997).

“Adalah tidak munasabah dan menyalahi undang-undang jika Warganegara dibenarkan mengambil anak bukan warganegara dan begitulah sebaliknya kerana bukan warganegara tidak berhak untuk berada di negara ini,” kata Ansari yang menyeru agar Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak memproses sebarang permohonan pengangkatan anak atau permohonan anak pelihara yang kerakyatannya belum ditentukan.

Dalam hal ini, kata Ansari, Pengarah JPKAS dan Pegawai Undang-Undang Jabatan Kebajikan Masyarakat harus meletakkan jawatan kerana gagal memahami akta dan sekaligus menghina mahkamah.

Sewajarnya, jika mahkamah memutuskan pengangkatan atau anak pelihara yang tidak sah taraf diberikan kepada keluarga pemohon, JPN sewajarnya mengemukakan rayuan atau memohon agar mahkamah mengenepikan perintah yang telah dibuat kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Ansari, pihaknya akan mengemukakan cadangan agar Wakil Rakyat Pakatan Rakyat mendesak Parlimen meminda Akta Kanak-kanak 2001 yang tidak praktikal terutama berhubung had umur pesalah juvana dan perlantikan Penasihat Mahkamah Kanak-Kanak.

Oleh: ZAINUDDIN HASSAN (sabahkini)

PR Desak Utusan Malaysia Pohon Maaf Dari Sultan Selangor

Pakatan Rakyat mendesak Utusan Malaysia memohon maaf secara terbuka kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan seluruh rakyat Malaysia berikutan sikap biadap mereka melalui satu penyiaran rencana.

Rencana melalui kolum Awang Selamat terbitan Kumpulan Utusan Malaysia, sebuah akhbar kawalan Umno-Barisan Nasional mempertikai keputusan baginda yang membatal hasrat untuk merasmikan mesyuarat agung Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).

Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Caves, Amirudin Shaari menggesakan rencana bertajuk 'Perkasa, Ibrahim dan Kedudukan Melayu' bertarikh 21 Mac itu mempertikai keputusan baginda, dihentikan kerana berbaur perkauman.

"Keputusan pembatalan itu bagi mengelakkan kontroversi dan manipulasi pihak tertentu. Kami ahli DUN Selangor PR membantah sikap biadap yang ditunjukkan oleh Awang Selamat dan Utusan.

“Jelas Awang Selamat cuba membayangkan tindakan beliau dan Dr Mahathir dalam mesyuarat pertama Perkasa lebih baik daripada keputusan Sultan Selangor yang membatalkan kehadiran baginda.

Amirudin juga memuji sikap dan keputusan Sultan Selangor serta menggesa semua pihak menghormati keputusan berkenaan yang disifatkannya bijak.

"Institusi Raja bukan sahaja mengetuai hal ehwal Islam dan adat istiadat Melayu tetapi menjadi payung dan ketua negeri terhadap simbol perpaduan,” katanya.

Beliau mengingatkan semua pihak bahawa Pakatan Rakyat dalam konvensyen pertama berikrar memperjuangkan institusi diraja, kedudukan bumiputera dan martabat bahasa Melayu, selaras dengan semangat keadilan dan kebebasan.

Amiruddin juga mempersoalkan di manakah Awang Selamat ketika bahasa Melayu diperlekeh, tanah rizab Melayu terhakis politikus Melayu yang merompak kekayaan negara demi kepentingan peribadi.

Thursday, February 11, 2010

Sabah FM

Tuesday, February 2, 2010

Petronas Runtuh Jika Serahkan Wang Ihsan Kepada JPP


Sebarang bayaran wang ihsan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) oleh Petronas adalah tidak sah dan tidak wajar kerana perjanjian yang ditandatangani adalah di antara Petronas dan kerajaan-kerajaan negeri.

"Ia adalah satu kesalahan serius dan Petronas dianggap memungkiri perjanjian di bawah Akta Petroleum 1974," demikian ditegaskan oleh seorang pensyarah Undang-undang IPTA semalam.

Sementara itu, Exco kerajaan negeri, Che Abdullah Mat Nawi menyifatkan kerajaan Umno-BN mencarik peradaban prinsip demokrasi terhadap kerajaan negeri jika pemberian wang ihsan mahupun royalti disalur melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).

Beliau menyelar kaedah tersebut jelas menggambarkan sikap diskriminasi kerajaan pusat bukan sahaja menganaktirikan kerajaan negeri malah menganiaya demi kepentingan politik.

“JPP adalah agensi kerajaan pusat. Sedangkan royalti adalah milik kerajaan negeri sebagaimana termaktub dalam perjanjian.

"Petronas sepatutnya membayar royalti secara langsung kepada kerajaan negeri.

“Akta Kemajuan Petroleum sudah jelas, royalti menjadi hak mutlak Kelantan. Maka tiada sebab nak dinafikan,” katanya semasa ditemui.

Menurutnya, justifikasi segelintir menteri Umno yang khuatir dari segi pengurusan kewangan oleh kerajaan negeri sekiranya wang tersebut disalurkan terus kepada kerajaan negeri hanya satu retorik tidak berasas sama sekali.

Tegasnya, perkara asas paling utama adalah hak sesebuah negeri itu dalam menerima hasil daripada perjanjian yang dibuat, bukan soal pengurusan atau kelayakan.

“Kalau nak pertikai soal bijak atau tidak, contoh sudah ada. Semua rakyat sudah nampak.

"Di Terengganu stadium bernilai ratus juta ringgit tiba-tiba runtuh.

“Begitu juga stesyen bas, masjid, termasuk hospital yang tidak dapat diguna selepas dibina oleh kerajaan persekutuan.

“Secara logiknya kejadian tersebut menunjukkan berlakunya salah guna kuasa ataupun tidak menguruskan kewangan dengan baik. Jadi di mana bijaknya kerajaan persekutuan?”
soal Che Abdullah.

Sementara itu UMNO menyedari tanpa restu kerajaan negeri Kelantan, wang ihsan itu tidak akan boleh dileaskan oleh Petronas, maka dengan itu UMNO masih berharap Kerajaan Kelantan menerima tawaran menyertai Jawatankuasa Pengurusan Wang Ihsan.

Peluang itu masih lagi terbuka buat kerajaan negeri untuk menyertainya demi masa depan rakyat secara keseluruhan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata kerajaan negeri perlu memikirkan secara serius penolakan itu kerana yang menjadi mangsa adalah rakyat Kelantan yang sememangnya mahukan pembelaan dan pembangunan.

"Tawaran untuk sertai jawatankuasa ini masih terbuka buat kerajaan Kelantan dan jika masih menolak ia akan merugikan rakyat Kelantan.

"Kalau ada wakil kerajaan negeri, wakil itu boleh menentukan keutamaan dalam sektor tertentu untuk membelanjakan wang ihsan yang akan diterima pada Mac ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pertemuan Dengan Pengetua Kelantan di sini, Isnin.

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat baru-baru ini bertegas kerajaan negeri yang diketuainya itu tidak akan menerima pelawaan menyertai jawatankuasa berkenaan kerana tidak berpuas hati dengan pemberian wang ihsan yang bukannya royalti petroleum.

Nik Abdul Aziz berkata wang ihsan seharusnya dibayar kepada kerajaan Pusat kerana Kuala Lumpur tidak mempunyai rizab minyak dan bukan sebaliknya.

Bercakap di satu ceramah di Negeri Sembilan semalam, Nik Aziz berkata konsep wang ehsan yang diterima-pakai pemerintah BN bukan sahaja wajar, bahkan tidak masuk akal.

“Minyak Kelantan untuk Kelantan. Kuala Lumpur tidak ada minyak setitik pun. Kuala Lumpur sendiri tidak ada minyak. Dia ambil minyak kita, dia beri ihsan kepada kepada kita. Sepatutnya kita beri wang ehsan kepada dia (Kuala Lumpur)." ujar Nik Aziz.

Nik Aziz menjelaskan tindakan Umno-BN menyekat pemberian royalti minyak kepada rakyat Kelantan menunjukkan pemerintah meletakkan keutamaan pada wang ringgit, bukan rakyat.

“Kelantan miskin. Dari dulu sampai sekarang miskin. Tapi manusia undi PAS. Daripada 45 kerusi di Kelantan UMNO hanya baru dapat 6 kerusi. PAS miskin. Perkara-perkara sebegini tolong kirim salamlah kepada UMNO biar dia faham sikit” katanya lagi.

BN Terdesak 'Pancing' Pembangkang


Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail menyifatkan pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) terdesak sehingga terpaksa memancing Ahli Parlimen pembangkang menyertai kerajaan.

Malah beliau mendakwa, tindakan tersebut hanya merosakkan kredibiliti parti pemerintah itu.

"Tindakan mereka menghantar SMS (sistem khidmat pesanan ringkas) kepada saya jelas menunjukkan tindakan terdesak pemimpin Umno dan BN.

"Bagi saya tindakan mereka itu sangat tidak berfaedah dan sia-sia. Bagi saya perkara sebegini akan hanya merosakkan kredbiliti mereka,” katanya kepada mStar Online hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa Azan dan Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusof pernah menerima tawaran daripada Umno dan BN.

Semalam Anwar dilaporkan berkata kedua-dua ahli Parlimen berkenaan pernah didampingi pemimpin Parti Cina Malaysia, Huan Cheng Guan dan Duta Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Jamaluddin Jarjis berhubung pelawaan untuk menyertai parti masing-masing.

Beliau turut mendakwa ekoran tidak melayan pelawaan itu maka jumlah wang ganjaran yang dikatakan akan ditawarkan kepada kedua-dua pemimpin berkenaan tidak dibincangkan. Mengulas lanjut isu berkenaan, Azan mengakui pelawaan itu diterimanya dua hari selepas beliau meletakkan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi II PKR Pahang dan Pengerusi Biro Keahlian negeri.

"Selain SMS, saya juga ada terima panggilan telefon. Saya anggap SMS dan panggilan itu, sekadar satu pelawaan biasa dan cubaan untuk memancing saya sahaja.

"Ingin saya tekankan sekali lagi, bahawa saya akan terus setia bersama PKR mempertahankan dasar perjuangan parti bersama-sama PAS dan DAP," ujarnya.

Ditanya sama adakah pemimpin Umno yang dimaksudkannya itu, ialah bekas menteri Kabinet, Jamaluddin Jarjis, Azan berkata: "Hatta daripada mereka yang pernah ada dalam Kabinet pun ada.Cuma butirannya tidak perlulah saya dedahkan sekarang," katanya.

Beliau turut mencabar pemimpin Umno tersebut menafikan dakwaannya itu, jika mereka berada di pihak yang benar.

"Saya ada bukti, SMS yang dihantar kepada saya pun saya masih simpan. Kalau mereka betul mereka boleh nafikan dakwaan ini," ujarnya.

Pada 25 Januari lalu, Azan, 44, meletakkan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Dua PKR Pahang dan Pengerusi Biro Keahlian negeri, berkuat kuasa serta-merta.

Beliau membuat keputusan itu selepas kecewa dengan pentadbiran PKR negeri terutama berkaitan isu pengurusan kewangan dan kutipan dana awam parti berkenaan.

Sementara itu, Yusmadi dihubungi enggan memberi sebarang komen berhubung isu berkenaan.

"Maaf, saya tidak sihat hari ini. Saya tak mahu ulas mengenai isu ini," katanya. -MSTAR

Ramai terkejut keputusan PAS gantung Khalid'

Pemuda PAS Shah Alam berpendapat, walaupun jawatankuasa disiplin parti melaksanakan tanggungjawabnya sebaik mungkin, masih ramai yang terkejut dengan keputusan yang dikenakan terhadap dua pemimpinnya.

hasan ali hassan aliMenurut dewan itu, tindakan terhadap Pesuruhjaya PAS Negeri Datuk Hasan Ali (kiri) dan yang dipertuan (YDP) Shah Alam Khalid Samad mustahil dapat memuaskan semua pihak kerana kes tersebut rumit dan jarang berlaku.

"Isu tindakan disiplin terhadap YDP PAS Shah Alam dan pesuruhjaya PAS Selangor mendapat perhatian serius oleh Dewan Pemuda PAS Shah Alam.

"Dan kami juga percaya banyak pihak yang terkejut dengan apa yang telah diputuskan," kata dewan itu.

Jumaat lalu, NONEpengerusi jawatankuasa disiplin PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengumumkan, Khalid dan Dr Hasan bersalah terhadap dua pertuduhan terhadap mereka.

Sehubungan itu, jawatankuas itu menggantung jawatan Khalid sebagai YDP Shah Alam dan anggota biro politik parti selama enam bulan.

Sementara Hasan pula hanya diberikan amaran bertulis. Kedua-dua mereka dilarang membuat kenyataan yang menjejaskan PAS dan Pakatan Rakyat.

'Khalid sepatutnya dianggap hero'

Dalam satu kenyataan hari ini, dewan itu menyeru supaya keputusan itu dijadikan pengajaran dan tidak dibesar-besarkan kerana PAS "masih belajar cara menguruskan kemenangam" dan "memahami rentak".

abdul khalid samad"Janganlah dilihat kesalahan ini terlalu besar sehingga tidak boleh dimaafkan. Malang lagi kalau masih ada yang terus membesar-besarkan kesalahan ini. Sampai bila pun penyelesaian tidak akan terlaksana," kata kenyataan itu.

Sementara itu, seorang exco Pemuda PAS Abdullah Karim berpendapat, keputusan jawatankuasa disiplin pada 29 Januari lalu tidak boleh diterima dan menghantar isyarat yang salah terhadap rakyat Malaysia.

"Amat menghairankan bila individu yang bermatian mempertahankan dasar dan keputusan PAS untuk berkerjasama dalam Pakatan Rakyat dikenakan hukuman yang berat, sedangkan individu yang tindakannya boleh menjejaskan kerajaan Pakatan Selangor hanya diberi amaran sahaja.

"Saya rasa hukuman terhadap Hasan hanya sekadar wayang untuk 'membersihkannya' dan pada masa yang sama Khalid terus dimangsakan."

Abdullah yang juga timbalan ketua Pemuda Pahang berkata, Khalid yang sepatutnya dianggap 'hero' mempertahankan Pakatan telah diheret dan "menjadi mangsa dendam kesumat anasir anti Pakatan dalam PAS".

Sementara itu, pemangku YDP PAS Shah Alam, Azli Yusof berkata, pihaknya akan terus mendokong kepimpinan Khalid "memperjuangkan kesyumulan dan keadilan Islam" dan "memberikan khidmat terbaik dan berterusan kepada masyarakat".

"Tambahan pula, Khalid boleh meneruskan tugas biasa beliau sebagai seorang ahli parlimen yang tidak akan terhalang dengan keputusan itu.

"Penggantungan Khalid tidak akan menjejaskan perjalanan kerja dan kedudukan PAS Shah Alam kerana selama ini, PAS kawasan ini digerakkan secara berjamaah, sebagai sebuah organisasi," kata dalam satu kenyataan hari ini.

Anwar tiba di mahkamah

Perbicaraan kes liwat kedua mantan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bermula hari ini, dijangkan berlangsung sebulan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Mahkamah belum memulakan perbicaraan kerana ketua pembangkang itu memfailkan permohonan untuk menangguhkannnya.

Anwar dan keluarganya tiba di mahkamah berkenaan pada jam 8.57 pagi tadi.

Monday, February 1, 2010

Tawau FM

Sabahdaily TV